Saturday 25 June 2011

Kenyataan Media SAF ( 26 Jun 2011)

Kenyataan Media SAF
26hb Jun 2011
 
SAF SEKALI LAGI MENEGASKAN HUKUM QAZAF DILAKSANAKAN KE ATAS DATUK T

SAF sekali lagi menegaskan tuntutan untuk  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan segera melaksanakan hukuman Qazaf di bawah Enakmen Jenayah Syariah  ke atas mereka yang terlibat sebagai 'Datuk T' berhubung tuduhan zina mereka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
 
Peruntukan tersebut jelas terdapat dalam  seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan yang mengikut Undang-undang Syariah, tuduhan zina kepada seseorang tanpa membawa empat orang saksi, mereka boleh dikenakan prosiding qazaf.


Bagi SAF keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kelmarin menjatuhkan hukuman RM5,500 ke atas ketiga-tiga Datuk T tersebut adalah hukuman yang jelas tidak selaras dengan hukum Syariah.
 
Malah jika dilihat implikasi dari perlakuan mereka untuk memfitnah Datuk Seri Anwar, hukuman denda tersebut adalah suatu persendaan terhadap hukum qazaf dalam Islam.
 
Bukan sahaja pendakwaan dan hukuman itu seolah  sekadar untuk menunjukkan proses undang-undang telah dilaksanakan, malah pencemaran peribadi  yang tertuduh iaitu Datuk Seri Anwar telah diizinkan tanpa menimbangkan betapa imej beliau dihina dengan sangat keterlaluan.
 
 
Melihat kepada cara pembela  membaca pembelaan terhadap ketiga-tiga Datuk T di mahkamah, tujuan sebenar adalah untuk mencapai matlamat merosakkan  imej pihak yang yang dituduh dan bukan untuk mengaku salah semata-mata.  
 
Inilah barangkali rencana yang mereka dirangka dalam konspirasi fitnah  yang  menyimpulkan bahawa musuh politik nombor satu perlu di”bunuh” walau dengan cara apa sekalipun.
 
Kami menjangka implikasi dari keputusan mahkamah sivil tersebut akan menjadi prisiden untuk sesiapa sahaja selepas ini yang melakukan kesalahan yang sama boleh menerima hukuman yang memang mampu dibayar sekaligus mengabsahkan sesiapa boleh melakukan tuduhan dengan kaedah yang sama.
 
Dengan ini prosiding tersebut telah mengesahkan  peruntukkan hukum syara’ mengenai Qazaf di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama boleh dibakulsampahkan begitu sahaja.
 
Apatah lagi ketika pihak hakim mahkamah membenarkan peguam pembela kepada Datuk T mengambil kesempatan untuk melafazkan kata-kata yang mengimplikasikan orang yang dituduh melakukan zina tanpa di tegur.
 
Nampaknya fitnah yang sudah disebar luas di luar mahkamah dibenarkan juga dilakukan di dalam mahkamah.  Padahal amat jelas tujuan Datuk T mengaku bersalah bukan di atas rasa bersalah kerana melanggar undang-undang, akan tetapi berbangga kerana telah mencapai matlamat yang dikehendaki selama ini iaitu menyelar imej Dari Seri Anwar Ibrahim demi memenuhi agenda politik mereka dan pihak yang mendokong cita-cita mereka.
 
Pihak media perdana pula berpesta berita untuk turut melaporkan seolah-olah kata-kata peguam pembela Datuk Shafee Abdullah mengenai pendapat pakar dari US yang dikatakan mengesahkan keabsahan video memang benar untuk menyimpulkan orang yang dituduh dalam video adalah Datuk Seri Anwar.
 
Soal semada ini boleh dicabar atau tidak sebagai bukti tidak diambil kira dalam mahkamah tersebut, malah dibenarkan untuk dinyatakan  kononnya untuk membela Datuk T yang mengaku bersalah.
 
SAF mempersoalkan apakah kedudukan hukum qazaf yang ada dalam peruntukan enakmen jenayah JAWI dalam hal ini tidak releven dalam kes pertuduhan ini?  Di manakah maruah JAWI dan undang-undang syariah apabila dalam jenayah qazaf, orang yang dituduh tanpa menghadirkan 4 orang saksi yang muhsan tidak dapat pembelaaan mengikut yang telah digariskan oleh hukum Islam?
 
SAF menuntut  Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai kedudukan tuduhan zina yang kini dibenarkan oleh mahkamah sivil dan disebarluaskan oleh media massa.
 
Para Mufti dan ahli perundangan Islam  harus memberikan panduan untuk mengingatkan masyarakat Islam  agar semua pertimbangan dan hukuman jenayah dalam Islam hendaklah bersandarkan kepada perundangan Islam dan bukan melalui media massa.
 
 
Membiarkan media menyiarkan gambar berulang-ulang laki  sekaligus dengan tujuan menimbulkan prasangka kepada yang tertuduh seharusnya tidak dibenarkan.
 
Jelas SAF tidak keterlaluan untuk merumuskan hukuman yang dikenakan ke atas Datuk T sememangnya untuk mememenuhi agenda memburukkan imej yang dituduh. Dengan hanya mengenakan hukuman membayar denda yang kecil menyebabkan matlamat untuk membunuh keperibadian tertuduh dianggap tercapai.
 
SAF juga kesal terhadap kenyataan PM yang mengatakan terpulang kepada rakyat untuk menghakimi apakah video itu benar-benar  temasuk Datuk Seri Anwar di dalamnya.
 
Ini adalah suatu kenyataan yang tidak bertangungjawab.
Pertama, adakah PM merestui video itu diedar untuk ditonton oleh semua rakyat ataukah ini termasuk dalam agenda asal untuk mencemar keperibadian Datuk Seri Anwar?
 
Kedua, setelah merestui media massa seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia, Kosmos, Berita Harian menyiarkan gambar video itu seluasnya bertujuan untuk meningkatkan serangan terhadap Datuk Seri Anwar, apakah maksud PM rakyat menghakimi video tersebut?
 
Bukankah ini hanya suatu pernyataan bahawa memang pihak PM mahu rakyat percaya mengikut apa yang kerajaan di bawah PM mahu rakyat percaya?
 
 
Mohd Azmi Abdul Hamid  - Pengerusi SAF 


Thursday 16 June 2011

Ulama mahu pelukis, penerbit didakwa

Hina Islam: Ulama mahu pelukis, penerbit didakwa

Jun 15, 11 6:00pm



Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan pelukis kartun bertajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini diheret ke mahkamah kerana menghina Islam.


“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini didakwa atas penghinaan ke atas Islam," kata Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dalam satu kenyataan lewat petang tadi.

Katanya, penyiaran kartun di akhbar milik Umno itu secara jelas menghina ulama dan Islam dan tidak harus dibiarkan.

Sheikh Abdul Halim berkata kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.

“PUM meminta supaya para Mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama. Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat.

“Sehubungan dengan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.

Sheikh Abdul Halim mengulas kartun pada halaman 15 akhbar itu dengan tajuk 'Kekeliruan Kes Rogol' yang dilukis oleh 'Miko'.

Lakaran pertama mengambarkan seorang gadis yang mendakwa dirinya dirogol dan dikatakan mempunyai bukti dalam bentuk rakaman video telefon tetapi ditolak oleh pegawai Jabatan Agama kerana tidak mempunyai empat saksi.

Lakaran kedua itu pula menunjukkan lukisan gadis yang sama membawa aduan berkenaan kepada seorang anggota polis yang menerima duan itu.

Dia hanya Besi

Dialognya berbunyi “Bagus...Alat itu pun boleh jadi bukti!”

Selain itu, dialog lain yang dikatakan menghina Islam adalah: “Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”

Menurut Sheikh Abdul Halim Utusan sepatutnya mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan seumpama itu.

“PUM juga menyarankan agar pihak kerajaan adakan lebih banyak konvensyen nasional bagi menyelesaikan isu-isu dalam kalangan umat Islam sekarang yang kebanyakkan masyarakat Islam sekarang dilihat kurang berpengetahuan agama,” katanya.

Turut membidas penyiaran kartun oleh akhbar milik Umno itu ialah Dewan Pemuda PAS negeri Melaka yang mahu Utusan meminta maaf kepada umat Islam.

"Inilah akibatnya apabila akhbar Utusan Malaysia di-umno-kan. Tidak lagi seperti dahulu. Campur tangan Umno akan merosakkan semua, paling menyedihkan apabila agama sendiri dipersenda, kata ketuanya, Aizat Baharuddin dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Ruangan kartun itu, kata Aizat jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam iaitu hukum tentang persaksian kes zina.

"Dalam hukum Islam jelas dinyatakan bahawa apabila seseorang Islam dituduh melakukan zina orang yang menuduh perlu dibawakan empat orang saksi yang tidak fasiq."

Begitu jahil

Katanya, dialog kartun yang cuba digambarkan oleh pelukis langsung tidak sensitif pada hukum Islam bahkan mempersendakan hukum Islam.

“Ia menggambarkan seolah-olah hukum membawa empat orang saksi itu tidak boleh diguna pakai tetapi video dan gambar boleh dijadikan sebagai bukti.

“Kartun tersebut juga menggambarkan bahawa golongan agamawan begitu jahil dan tidak serius berbanding pihak polis," kata Aizat.

Menurut beliau tindakan akhbar itu jelas cuba mempermain-mainkan hukum Islam yang datangnya dari Allah.

"Ia dipercayai berkaitan tentang isu video seks dan liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang menjadi bahan utama (persendaan) akhbar itu," katanya.

Menurut Aizat, Utusan perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana sesungguhnya penghinaan seumpama itu hanya akan merugikan umat Islam.

"Cukuplah Islam dihina oleh musuh Islam, janganlah orang Islam sendiri yang menghina hukum yang Allah tetapkan disebabkan kejahilan sendiri." katanya.