Kenyataan Media
TERAS Pengupayaan Melayu
26hb Jun 2011
TERAS GESA HORMATI HAK RAKYAT DALAM PERLEMBAGAAN
TERAS mengesa semua pihak terutama pemerintah supaya menghormati hak rakyat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan .
Kami sangat prihatin dengan pekembangan mutakhir mengenai isu perhimpunan BERSIH 2.0 yang kini menjadi persoalan nasional.
Kami berpendapat adalah malang bila pihak berkuasa nampaknya tidak merujuk samasekali kepada hak yang ditertera dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perhimpunan aman di adakan yang ingin disertai oleh warganegara ini.
Dalam keadaan ini KDYMM YDP Agong yang menjadi paksi untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak dicabul oleh institusi polis dan pihak yang kelihatan terlalu rakus untuk mempertahankan kuasa , tampil untuk menyelamatkan Perlembagaan Negara.
Dengan yang demikian juga TERAS bersetuju dengan pandangan SUHAKAM yang telahpun menyatakan pendiriannya agar pihak kerajaan memberi laluan untuk perhimpunan BERSIH 2.0 dibenarkan justeru ia merujuk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
TERAS tidak dapat menerima cara dan reaksi pihak keselamatan yang nampaknya mengguna kuasa yang terlalu luas untuk bertindak sewenangnya termasuk menahan mereka yang memakai baju kuning yang mempunyai lencana BERSIH 2.0.
Apakah asas undang-undang yang diguna oleh polis untuk bertindak secara keterlaluan.
Tindakan “pre-emptif” dengan menahan individu hanya kerana memakai baju kuning akan menjadikan Malaysia momokan masyarakat dunia.
Inilah buat pertama kalinya dalam sejarah negara satu warna dianggap menggugat pihak berkuasa sehingga Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa memakai baju kuning itu adalah haram disisi keselamatan Negara.
TERAS berpendirian tuntutan BERSIH 2.0 yang meliputi 8 perkara dengan menyentuh isu-isu berkait dengan plihanraya yang adil , telus dan bersih , menghentikan politk kotor dan memerangi rasuah dalam pilihanraya adalah munasabah.
Sepatutnya tuntutan ini dihormati oleh pihak kerajaan dan pendekatan yang dipileh rakyat untuk mengadakan perhimpunan aman bagi menyatakan tuntutan ini serta menyerahkan memorandum kepada KDYMM YDP Agong sepatutnya diterima dengan pemikiran yang terbuka.
Menanggapi dan mengambil sikap yang bertentangan dengan semangat perlembagaan oleh pihak polis adalah suatu kesilapan yang akan merosakkan imej polis disisi rakyat.
Malah mengugut dan menimbulkan kebencian yang tidak berasas hanya kerana dianggap memakai baju kuning mencabar kerajaan adalah suatu tanda kerosakan dan kerendahan pemikiran institusi keselamatan negara .
Ditambah pula pihak polis nampaknya tiba-tiba mendakwa perhimpunan BERSIH 2.0 ada kaitan dengan idoelogi komunis adalah sangat tidak masuk akal.
Penangkapan 30 orang ahli PSM termasuk ahli Parlimen Dr Jayakumar yang maseh merengkok dalam tahanan polis atas dakwaan mereka sedang menyebarkan ideologi komunis dan merancang untuk memerangi KDYMM YDP Agong , kini menjerumuskan Negara ke ambang pemikiran yang berundur kebelakang.
TERAS menegaskan bahawa tuduhan yang tidak bersandar kepada bukti yang kukuh dan boleh digunapakai disisi undang-undang adalah satu tindakan yang salah.
Malah ini boleh menjadi prisiden yang tidak sihat apabila ia dijadi asas untuk pihak berkuasa sewenang-wenangnya menuduh dengan pra sangka buruk terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan.
TERAS juga membantah tindakan polis yang telah menyoalsiasat sasterawan Negara Datuk A.Samad Said selama 90 minit hanya kerana beliau membaca puisi di pentas pelancaran BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur.
Kami tidak nampak rasional kenapa polis harus menonjolkan kecurigaan yang keterlaluan terhadap sasterawan Negara tersebut. Bukan sahaja ia suatu penghinaan terhadap beliau malah sangat menghina seluruh kerabat sasterawan dan budayawan di Negara ini apabila puisi dilihat suatu senjata untuk mencabar pihak wewenang.
Padahal puisi hanya ungkapan rasa untuk menyedarkan rakyat dan mengingatkan pemegang kuasa betapa penting untuk memlihara kemurnian demokrasi.
TERAS berpegang kepada prinsip menyokong kebenaran dan keadilan dan menentang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Keresahan dan dakwaan penyelewengan dalam proses pilihanraya dalam pelbagai aspek yang disuarakan oleh BERSIH 2007 dan kini BERSIH 2.0 sememangnya perlu disahut dengan serius oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya .
Salahguna kuasa yang melibatkan senarai pengundi yang tidak bersih, penggunaan agensi awam termasuk institusi pendidikan awam iaitu sekolah dan IPT serta polis , tentera , jabatan peguam Negara , secara berleluasa untuk kepentingan mengekalkan kuasa pihak kerajaan yang memerintah , menyekat media parti lawan dan mengeksploitasi media awam dengan sangat ketara , penggunaan wang awam untuk kempen pilihanraya , menyebarluaskan fitnah dan mengguna taktik kotor dan mengaibkan pihak lawan dalam kempen serta manipulasi persempadanan pilihanraya adalah sungutan yang bukan tidak berasas.
Perhimpunan BERSIH 2.0 sepatutnya dibenarkan dengan hati terbuka oleh pemerintah dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan ,pihak polis seharusnya memberi ruang untuk rakyat menyatakan pendirian mereka secara aman dan mengguna saluran demokratik.
TERAS menegaskan jika tindakan pihak polis semakin keras dan tidak mahu mengambilkira pandangan agensi berwibawa seperti SUHAKAM maka hormat rakyat terhadap institusi keselamatan Negara akan terjejas.
Sementara itu nampaknya pihak polis pula tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengawal mereka yang semakin mengganas terhadap aktivis BERSIH 2.0 sehingga berlaku insiden menyerang dan mengujudkan ketengangan oleh kumpulan yang tidak bersetuju dengan BERSIH 2.0. Adakah Negara ini hendak dibiar dikawal oleh samseng jalanan?
TERAS dengan itu mengesa agar perhimpunan BERSIH 2.0 diberi layanan yang lebih adil dan matang jika Malaysia hendak dihormati sebagai Negara yang member ruang kepada rakyat untuk menyatakan penirian secara aman.
Mohd Azmi Abdul Hamid.
Presiden TERAS