Thursday 31 March 2011

Siasat dulu, kata Mufti

Siasat dulu kesahihan berita, mufti senada
Malaysiakini 31hb Mac 2011


Dalam menghadapi keadaan politik yang mengeksploitasi isu peribadi, seperti isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, umat Islam dinasihatkan menyiasat dahulu kesahihan dakwaan itu.

Perkara itu disepakati beberapa mufti negara ini, termasuklah Dr Juanda Jaya (Perlis), Datuk Tamyes Abd Wahid (Selangor) dan Datuk Mohammad Shukri Mohammad (Kelantan).

Menurut Dr Juanda, Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, apabila datang berita daripada orang fasik, perkara itu hendaklah diselidiki terlebih dahulu.
 

"Dan kalau tidak cukup empat orang saksi, sepatutnya penuduh dikenakan hukuman Qazaf. Hukum orang fasik ini, dia tak layak lagi jadi saksi untuk sebarang kes kerana sudah hilang kredibeliti."

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Juanda (kanan) berpendapat isu melibatkan keaiban peribadi tidak boleh dijadikan modal politik, apatah lagi jika perkara berkaitan seks yang amat memalukan.

"(Kalau betul pun), kita tak tahu, mungkin dia sudah bertaubat. Kenapa perlu dedahkan perkara itu? Siapa tak ada aib di masa lalu?" soal Dr Juanda lagi.

Katanya, rakaman video sahaja tidak mencukupi jika tidak disokong oleh empat saksi yang adil kerana kesalahan zina amat berat dan hukuman yang dijatuhkan hendaklah bebas daripada sebarang prasangka.

"Kalau ada (hanya) tiga orang saksi yang melihat perkara itu, lebih elok mereka tutup mulut sahaja daripada mendedahkannya. Kesan tindakan itu melibatkan banyak pihak, termasuk anggota keluarga yang terlibat," katanya.

'Jangan terpalit, terikut-ikut'

Semalam, ulama terkenal Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, para mufti wajar menyatakan pendirian berhubung isu “politik selak kain” susulan tayangan video kontroversi minggu lalu.
Sementara itu, Tamyes (kiri) pula menyifatkan apa yang berlaku sekarang ini berjalan secara tidak betul.

"Untuk menuduh, mestilah mendatangkan bukti, iaitu empat saksi untuk mensabitkan kesalahan. Jika tidak, pihak itu boleh dikenakan hukum Qazaf.

"Hukum ini tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang. Kepada yang dituduh, boleh bersumpah untuk menafikan apa yang dituduh. Tetapi sekarang, yang menuduh bersumpah, yang dituduh diminta mencari bukti. Ini terbalik dan tidak betul," katanya.

Tamyes juga menasihatkan orang awam yang tidak tahu menahu tidak masuk campur, walaupun sekadar bersembang-sembang mengenaninya di kedai kopi.

"Biarlah diselesaikan oleh pihak yang berkenaan. Janganlah terpalit sama, terikut-ikut buat tuduhan," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berhubung gejala "politik selak kain" yang dibangkitkan Dr Mohd Asri sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya minta kembalilah ke jalan Allah. Sekiranya tidak ada asas sesuatu tuduhan itu, eloklah kita sorot kembali (kesasihan dakwaan itu)," katanya.

Kod etika dalam Islam

Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Mohammad Shukri Mohammad pula berkata, Islam menetapkan kod etika untuk pelbagai pihak, sama ada ada penuduh atau orang awam dalam menghadapi isu pendedahan aib orang.

Katanya, pendedahan perkara buruk melibatkan orang lain boleh dibuat bagi tujuan pengadilan dan penghakiman sahaja dan tidak boleh didedahkan secara terbuka.

"Kalau dengan niat hendak aibkan orang memang dilarang. Kalau dengan tujuan mencari kebenaran atau mendapat pengadilan yang adil, perlulah dedahkan.

"Tetapi cara mendedahkannya biasanya dedah pada qadi, hakim atau mufti, tidak kepada orang awam," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi orang awam pula, Mohammad Shukri sependapat dengan Dr Juanda bahawa sesuatu berita yang disampaikan mestilah diselidik dahulu dan tidak terus menerimanya bulat-bulat.

"Jabatan mufti sepatunya jadi sumber rujukan. kalau pihak berkenaan rujuk dulu, barangkali ada cara lebih sopan untuk nyatakan kebenaran dan mendapatkan pengadilan.

"Sebabnya menonton video lucah, undang-undang negara pun tak boleh," katanya.



Wednesday 30 March 2011

Mufti yang DIAM

Dinsman (Artikel 214, 28/3) Harakah
Kelucahan melampau dan 14 mufti yang bungkem

Minggu ini hebohlah pula cerita video lucah versi terbaru itu. Ia sudah diangkat ke taraf tinggi dan mulia. (Carcosa Seri Negara. Enam bintang tu). Cuma mereka terlupa nak minta mana-mana mufti di negara kita ini supaya hadir sama untuk sahkan bahawa perbuatan itu tidak bersalahan dengan ajaran agama disebabkan ia bertujuan untuk menjaga kepentingan dan keselamatan para umarak yang sedang menunaikan fitnah di bumi bertuah ini.

Memang bertuah bumi kita ini. Tempat suburnya segala macam cerita pelik-pelik dan lucah-lucah begitu, walaupun tiap malam para ulamak dan ustaz menyampaikan kuliah dan tazkirah di masjid-masjid dan surau-surau seluruh negara, mengajak jemaah berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Para mufti pun seramai 14 orang (bukannya seorang dua) sibuklah ke sana ke mari memberi fatwa agar rakyat tidak dibiarkan dalam keadaan keliru dengan hukum-hakam yang nampaknya bertambah-tambah keliru dan mengelirukan itu.

Akhbar-akhbar pun terutama yang menggunakan saluran online berserta blog-blog penuhlah dengan cerita terbaru dan terhangat di pasaran ini. Ada yang mengatakan ia bertepatan dengan bubarnya Dewan Undangan Negeri Sarawak dan bermulanya kempen politik menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak tak lama lagi.

Ada pula yang mengatakan ia sebagai Plan B untuk bersedia kalau-kalau perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung di mahkamah sekarang ini gagal menyumbatkan pemimpin utama Pakatan Rakyat itu ke dalam penjara, sebelum diumumkan pembubaran Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-13 yang Najib sudah berikrar kepada ahli-ahli Umno akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir mempertahankan Putrajaya walaupun berkecai badan dan nyawa, (atau begitulah lebih kurang ikrarnya itu).

Apa-pun-lah cerita di sebaliknya itu, moral ceritanya ialah: negara kita sekali lagi sedang dimandikan dengan kelucahan yang melampau, dan para mufti-mufti kita pun buat ke sekian kalinya bungkem tanpa suara, memberi isyarat mereka merestui ikhtiar para pejuang yang berjuang atas nama moral dan akhlak itu, di mana Rahim Tamby Chik yang terkenal dengan cerita akhlaknya itu menjadi ketua atau salah seorang ketuanya.

Cerita lucah terbaru ini sedang menjalar dan menular ke segenap penjuru di bumi bertuah kita ini. Bertuah sungguhlah kita, bernaung di bawah payung raja-raja dan mufti-mufti yang mulia dan dimuliakan itu. Sampai ke tahap kelucahan itu diangkat ke taraf tinggi itu pun para mufti dan raja-raja kita tetap bertenang dan bersabar, istiqamah dengan status quo mereka itu. Amboi bertuah sungguhlah kita.

Nazri Aziz pula tiba-tiba membuat penafian Umno terlibat dengan tiga orang datuk T itu. Tambah menariklah jadinya plot cerita ini. Tidaklah straight forward saja, ‘kan? Sekarang sudah ada saspens sikit. Apahal tiga datuk T bertindak di luar restu pimpinan Umno?

Tapi ada saspens atau tidak pun, kelucahan melampau itu tetap juga kelucahan melampau. Fitnah yang sudah jadi sebahagian daripada strategi politik kita itu pun tetap jugalah fitnah. “Maka apabila dua perkara ini menjadi begitu subur di negara kita, di manakah pula kedudukan kita?” Tanya seorang sahabat yang selalu prihatin dengan isu-isu semasa, melalui sms-nya kepada saya.

Di mana kedudukan kita? Eh, kenapa pula dia bertanya begitu? Apa maksudnya? Di mana kedudukan kita? Kedudukan kita tentulah tetap macam biasa di mana kedudukan kita. Apa pula kena mengenanya dengan isu kelucahan melampau yang terbaru ini? Apakah kita perlu mengubah kedudukan disebabkan olehnya?

Saya hujani dia dengan pertanyaan-pertanyaan itu. “Iyalah,” jawab dia, “kau tanyakan di mana kedudukan para mufti kita. Aku tanyalah kau pula, di mana kedudukan kita?”

Oh, begitu rupa-rupanya maksud dia. Mempersoalkan peranan kita masing-masing. Ya, setiap orang sememangnya patut berperanan mengikut kesesuaian masing-masing. Mufti dengan cara dan kuasa muftinya. Raja-raja dengan cara dan kuasa raja-rajanya. Kita semua pun mestilah – dengan cara dan kuasa atau kedudukan kita masing-masing.

Tetapi dalam hal ini saya mempertahankan hujah bahawa para mufti kita 14 orang itu tidak sepatutnya bungkem. Fitnah dan kelucahan itu sudah sampai ke tahap yang sangat serius. Fatwa apakah yang digunapakai oleh para mufti kita maka mereka boleh terus bungkem, sedangkan bungkemnya mereka itu adalah diertikan sebagai mereka tidak berhalangan dengan perbuatan jahat tersebut.

Kita semua maklum ini semua adalah kerja politik. Di negara kita ini politik sudah merampas banyak perkara yang sepatutnya dihalang daripada dirampasnya. Tetapi oleh kerana kuasa dan pengaruh ‘bukan-politik’ tersangat lemah, maka politik bermaharajalela. Baru-baru ini dalam isu novel ‘Interlok’ misalnya, sastera pun sudah dilanyak oleh politik. Politik tiba-tiba lebih arif mengenai sastera, sedangkan orang sastera sendiri pandangan mereka mengenai sastera pun tidak dipedulikan.

Dan sekarang soal fitnah-menfitnah menggunakan hal-hal yang lucah dan melanggar akhlak Islam. Hal-hal sulit yang mengaibkan yang sepatutnya ditutup, telah dibuka dan dibentangkan di depan khalayak, menggunakan segala media massa. Semua peringkat umur didedahkan dengan perkara yang tidak sepatutnya. Masyarakat sudah jadi tonggang langgang haru-biru dan hilang segala peraturan. Semuanya tidak lain semata-mata kerana orang politik mengejar kuasa dan pengaruh.

Hendak disalahkan orang politik tak ada gunanya, kerana memang itulah politik. Kuasa dan pengaruh. Teori Machiavelli atau entah teori gila apa pun mereka peduli apa! Yang penting mereka mahu berkuasa. Memang itu politik.

Yang salahnya ialah orang-orang agama dan orang-orang budaya dan orang-orang intelektual. Seperti para mufti kita 14 orang itu. Bungkem semuanya. Tak bersuara untuk mempertahan-kan apa yang sepatutnya dipertahankan. Dulu kita ada seorang Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berani bersuara menjelaskan mana yang benar dan mana yang salah, mengikut pendapatnya, walaupun ada pihak yang tak suka.

Sekarang dia pun tidak menjadi mufti lagi. Sayang sekali, di umur yang semuda itu! Tetapi itulah dia, seorang mufti yang patut dicontohi. Mungkin ada tindakannya yang kita pun tak setuju. Itu biasa, sebagai manusia, tentulah ada juga tersilapnya. Tetapi yang lebih pentingnya dia menunaikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)

Monday 28 March 2011

Kenyataan Media Kepada Mufti

SAF ANTI FITNAH (SAF)

Sekretariat SHURA , Seksyen 14 , Petaling Jaya , Selangor D.E Tel : 019-4744856 / 0133506570 /0124753516 / 0136362408
َ الَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَ الْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَ إِثْمًا مُبِينًا ) [ الأحزاب : 
58 ] .
Orang-orang yang menyakiti mu’min lelaki dan mu’minah wanita mengenai perkara-perkara yang mereka tidak melakukannya maka mereka telah melakukan pembohongan dan dosa yang jelas nyata

Kenyataan Media
28hb Mac 2011

SAF MOHON MUFTI NEGERI-NEGERI SEGERA NYATAKAN PENDIRIAN TERHADAP FITNAH LUCAH

SAF memohon agar para Mufti negeri-negeri segera memberi reaksi terhadap gejala fitnah lucah dalam politik yang kini sedang berkembang dalam negara.
Keadaan yang menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat terutama dikalangan umat Islam tidak boleh dibiarkan.

Kenyataan dari para mufti dan bekas mufti akan memberi isyarat penting supaya masyarakat tidak terus berhadapan dengan manipulasi dari pihak-pihak yang berkepentingan sempit dan tidak menghiraukan larangan agama mengenai natijah fitnah.

Kami memohon agar pencetus fitnah serta segala alat penyebar fitnah melalui media cetak dan eletronik ditegur supaya kesan fitnah tidak menyebabkan maruah umat Islam terus dihina.

Penyebaran fitnah lucah yang berleluasa nampaknya dibiarkan tanpa ditegur oleh pihak yang berkewajipan.

Kami amat kesal kekeliruan terus dibiarkan lantaran ada pihak yang mengeskploitasi dengan maksima menggunakan media arus perdana untuk mencetuskan persepsi yang buruk terhadap musuh politik.




SAF dilancarkan pada  26hb Mac 2011 di Gombak KL yang sehingga ia dilancarkan  dianggotai oleh  NGO berikut : TERAS , SHURA , PAKSI .(Seniman Paksi Rakyat), ABIM , PUM . Budayawan Bertindak , SALIMAH , Jawatankuasa Madrasah Tarbiyyah KgBandar Dalam Gombak, KL , Persatuan Anakk Melayu Selangor/W.Perkesekutuan , Kelab GADIS –SALIMAH ,ISRA (Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat ,MBWM( Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia) , Pusat Tassawur Islam Perak, Jaringan Kuliah Dhuha Perak , Muafakat Perubuhan Islam Kedah (WEHDAH), (JAMA’IY) Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak.


Politik tanah air kini sedang melalui pencemaran yang amat kotor dan SAF mendapati ahli agama perlu memainkan peranan lebih aktif untuk menjernihkan keadaan.

Kami berpendapat keadaan ini tidak boleh  dibiarkan berterusan dan para ulama harus tampil menyatakan pendirian dan teguran kepada pihak ahli politik yang ghairah terhadap kuasa.

Para Mufti akan dapat memberi nasihat dan teguran yang berkesan dengan menyatakan pendirian serta meletakkan prinsip Islam serta maruah ummah di atas segala kepentingan.

Sungguhpun isu video lucah yang hangat didedahkan oleh pihak yang mahu menjatuhkan serta memburukkan keperibadian seorang ahli politik adalah disebabkan pertarungan politik , namun SAF berpendirian bahawa fitnah lucah yang dibenarkan diguna adalah juga suatu isu yang perlu ditegur oleh ulama.

Dengan tidak memberi reaksi dan teguran akan menambahkan kekeliruan serta perdebatan yang akan memburukkan lagi suasana.
 
Kami memohon agar para Mufti dapat mengingatkan rakyat dan ahli politik bahawa ada agenda lebih besar untuk umat hadapi seperti  isu  pembangunan ilmu , pendidikan , gejala sosial , kemiskinan , cabaran musuh Islam  yang seharusnya ditumpukan dan bukan isu menelanjangkan keperibadian seseorang dengan fitnah yang mengaibkan.

Mohd Azmi Abdul Hamid – Penyelaras SAF



Sunday 27 March 2011

Perhimpunan Munajat Perangi Fitnah


SAF ANTI FITNAH (SAF)
Sekretariat SHURA , Seksyen 14 , Petaling Jaya , Selangor D.E Tel : 019-4744856 / 0133506570 /0124753516 / 0136362408

ANDA MEMBISU TERHADAP FITNAH , ANDA TURUT MENYUMBANG KEPADA PENYEBARAN FITNAH

Kenyataan Media
28HB Mac 2011

PENGUMUMAN
PERHIMPUNAN MUNAJAT MEMERANGI FITNAH
Perangi fitnah , Katakan Irhal kepada Pencetus Fitnah

SAF mengumumkan akan mengadakan Perhimpunan tersebut diatas untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya fitnah.
Perhimpunan itu akan di adakan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 17hb April 2011 bermula dengan solat Hajat pada jam 10.00 pagi dan diikuti 10.45 pagi dengan Forum Bicara Ulama Untuk Umat – Bahaya fitnah dan Kewajipan Membentarasnya.

Semua  umat adalah dijemput hadhir untuk menunaikan solat hajat bersama dengan para ulama yang akan turut hadhir dalam semangatkan umat untuk memohon kepada Allah S.W.T akan keampunanNya serta menghindar dari kemurkaaanNya akibat kelalaian umat membenteras fitnah yang bermaharajalela.

SAF mengundang seluruh ahli ulama dalam persatuan ulama , imam-imam masjid ,tuan-tuan guru dari pondok dan sekolah agama rakyat.

SAF mengharapkan dengan perhimpunan besar-besaran ini akan menimbulkan semangat dan keazaman umat Islam untuk menolak amalan fitnah liar yang kini dijadi senjata untuk memburuk dan mendedahkan aib seseorang untuk kepentingan diri.

SAF ingin menegaskan supaya seluruh umat Islam terutama mereka yang memegang kuasa agar tidak bertolak ansur dengan fitnah tanpa mengira kepercayaan politik dan kepentingan mana –mana individu supaya budaya fitnah tidak menjadi lumrah dalam masyarakat.



MENJEMPUT ORGANISASI DAN INSTITUSI MASYARAKAT DAN INDIVIDU
BERSAMA DALAM SAF ANTI FITNAH

SAF dengan ini mengundang organisasi dan institusi  masyarakat dan individu untuk bersama dengan SAF bagi memerangi budaya fitnah yang berleluasa dalam masyarakat.

Kami berkeyakinan bahawa bila masyarakat berpadu dalam menentang amalan politik fitnah serta membenteras budaya fitnah dalam masyarakat , negara Malaysia dapat diselamatkan dari porak-poranda dan kehinaan.

Pada pendapat kami kebanyakan masalah perpecahan juga adalah akibat dari politik saling menfitnah dan mendedahkan aib antara lawan.

Kami mendapati kini amalan politik fitnah melalui media serta kenyataan-kenyataan yang memutar belitkan fakta sangat berleluasa dalam usaha para ahli politik untuk merebut dan mempertahankan kuasa.

Kami merasa kesal ada media yang mengamalkan kewartawanan murahan dan tidak beretika dalam mempertajamkan fitnah hanya kerana mahu meraih jaminan untuk mendapat tempat dalam kerajaan yang memerintah.

Bagi kami ini akan akhirnya mengakibat negara dan rakyat menerima padah yang buruk bila kekeliruan serta buruk sangka antara masyarakat menjadi hidangan harian.

SAF menolak sebarang konspirasi untuk menjatuhkan maruah dan keperibadian seseorang , walaupun  berita yang diputarkan berupa fitnah. Perbuatan ini sama sahaja dengan mengadai maruah umat dan bangsa melalui cara “membunuh sahsiyyah” seseorang.   

Kami percaya bahawa perpecahan dikalangan umat akan dapat dipulih jika masyarakat bersama dan bersatu membentaras amalan fitnah.

Tujuan SAF adalah untuk:
 
1.      Mendidik rakyat dengan prinsip Islam yang mengharamkan fitnah dan mewajibkan umat bersatu atas kebenaran.
2.      Menyedarkan masyarakat mengenai musibah fitnah yang perlu diwaspadai dan dibenteras.
3.      Melahirkan semangat mencintai kebenaran dan keilmuan untuk menegakkan keadialan berlandaskan Al Quran dan As Sunnah.
4.      Mendidik masyarakat untuk bertegas dengan nilai akhlaq yang perlu dipertahankan dan menolak segala penyelewengan dan kerosakan akhlaq yang berkaitan dengan fitnah zina.
5.      Menyedarkan masyarakat mengenai akibat fitnah zina yang sangat dilarang oleh Islam serta natijahnya disisi undang-undang qazaf dalam Islam.
6.      Mengembleng masyarakat untuk mengesa penguatkuasaan undang-undang Qazaf mengikut tuntutan Islam.
Kami mengundang supaya organisasi dan institusi masyarakat bersama dengan kami untuk melaksanakan geraktindak berikut:
1.      Mengedar risalah yang dikeluarkan oleh SAF mengenai memerangi Fitnah.
2.      Menganjurkan majlis ceramah dan forum mengenai bahaya fitnah.
3.      Terlibat bersama untuk memerangi fitnah melalui e-perangi fitnah seperti blog , laman web , dan facebook.
4.      Mengedarkan khutbah bahaya fitnah untuk disampaikan oleh khatib disebanyakkan mungkin masjid semada ketika khutbah solat jumaat mahupun dalam kuliah pengajian di masjid dan surau.
  

Mohd Azmi Abdul Hamid
Penyelaras SAF

 


Anda membisu terhadap Fitnah?

KEMPEN PERANGI FITNAH
DARI 13 JENIS MANUSIA

oleh
SAF ANTI FITNAH

ANDA MEMBISU TERHADAP FITNAH , ANDA TURUT MENYUMBANG KEPADA PENYEBARAN FITNAH

MARI KITA MENENTANG 13 JENIS MANUSIA BERIKUT:

Ø  PENCIPTA FITNAH

Ø  PEMBAWA FITNAH

Ø  PENULIS FITNAH

Ø  PELAKON KONSPIRASI FITNAH

Ø  AHLI PROFESSIONAL YANG MEMBANTU MENGHASILKAN BAHAN FITNAH

Ø  PENGUASA YANG MELINDUNGI PENFITNAH

Ø  PENCETAK BAHAN FITNAH

Ø  PENYEBAR FITNAH

Ø  JURUCAKAP FITNAH

Ø  MEDIA YANG MENGEMBAR-GEMBURKAN FITNAH

Ø  PEMIMPIN YANG MENYOKONG FITNAH

Ø  PARTI POLITIK YANG MENDOKONG FITNAH

Ø  PENGUASA YANG MEMBENARKAN FITNAH