Tuesday 5 July 2011

PENYELESAIAN YANG BIJAK – PERHIMPUNAN TETAP DITERUSKAN

Kenyataan Media TERAS
6hb Julai 2011
 
PENYELESAIAN YANG BIJAK – PERHIMPUNAN TETAP DITERUSKAN
 
TERAS menyokong keputusan BERSIH 2.0 untuk diadakan di stadium seperti yang diputuskan demi menjaga keselamatan awam.
 
Dengan mempertimbangkan titah KDYMM YDP Agong serta melihat reaksi pihak semada polis mahupun kelompok yang ghairah untuk menghalang perhimpunan secara ganas , maka mengadakannya di stadium adalah suatu yang bijak.
 
Kami berpendapat adalah sangat dikesali bagaimana BERSIH menjadi isu yang tidak terkawal sehingga pelbagai tohmahan dan andaian yang liar di lontar terhadap rakyat yang mahu mengguna hak untuk menyuarakan keresahan mereka terhadap proses pilihanraya di Malaysia.
 
Kini dengan perkenan KDYMM YDP Agong yang bersedia menerima penganjur BERSIH 2.0 untuk mengadap dan mendengar permohonan mereka , menunjukkan segala sikap pihak polis yang tidak mahu berrunding dan menghukum BERSIH 2.0 sebagai haram adalah tertolak dan tidak direstui oleh Sri Paduka Baginda sendiri.
 
Kenapakah polis menyatakan perundingan telah ditutup padahal KDYMM YDP Agong pula bersedia menerima BERSIH untuk mengadap?
 
Dari siapakah pihak polis menerima arahan sebenarnya untuk menutup segala pintu rundingan ?
 
Ini juga memperlihatkan betapa segala tuduhan yang telah dilontar terhadap BERSIH sebagai terlibat dengan idoelogi komunis , didalangi oleh kuasa asing , bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan secara anarki dan mengujudkan rusuhan untuk menggugat keselamatan awam adalah fitnah belaka.
 
TERAS mengharapkan perhimpunan yang akan diteruskan dengan berkumpul di Stadium Negara akan tetap dapat menyuarakan kehendak rakyat supaya tuntutan 8 perkara BERSIH diambil tindakan oleh pihak kerajaan dengan sikap yang lebih positif.
 
Sementara BERSIH diingatkan supaya bertanggungjawab untuk menjamin keamanan sepanjang perhimpunan , sebelum dan sesudah perhimpunan, kami juga mengharapkan pihak polis mengawasi sebarang pihak yang cuba menimbulkan provokasi dan sengaja mahu mengujudkan keteganggan untuk memfitnah BERSIH. 


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS

TERAS SOKONG PENDIRIAN SASTERAWAN NEGARA

Kenyataan Media TERAS
5hb Julai 2011

TERAS SOKONG PENDIRIAN SASTERAWAN NEGARA

TERAS mendokong penuh pendirian 4 orang sasterawan negara yang telah mengeluarkan kenyataan bersama terhadap perkembangan semasa mengenai BERSIH.

Ketegasan tuntutan mereka bahawa semua tahanan BERSIH 2.0 hendaklah dibebaskan serta para ahli sasterawan tidak harus dijadi sasaran pihak polis seperti yang diperlakukan ke atas Datuk A.Samad Said adalah sangat ditunggu-tunggu oleh masyarakat.

TERAS pernah mengumumkan pendiriannya dan telah menyatakan betapa sasterawan sebagai ahli bahasa dan budaya , sangat peka terhadap sentimen masyarakat dan oleh itu berhak untuk menyatakan pandangan mereka melalui karya-karya mereka yang pelbagai.

Sememangnya para ahli sasterawan peka terhadap perkembangan dalam masyarakat lalu sering berkarya untuk menyatakan pandangan terhadap segala perkara yang tersirat dalam setiap peristiwa.

Oleh itu pernyataan mereka untuk turut memberi pandangan melalui karya novel, rencana, sajak atau  persembahan seni sepatutnya dihormati oleh semua pihak.

Pernyataan 4 orang Sasterawan Negara tersebut adalah suatu tindakan yang berani dan kena pada masanya.

Sebagai warga masayarakat yang mampu mengangkat nilai dan mesej yang wujud dalam setiap peristiwa, mereka sudah pasti mempunyai kebijaksanaan dalam berfikir dan bersikap dan mereka berhak untuk menyatakan pendirian mereka.

Soalnya jika pernyataan  mereka  menyentuh pihak berkuasa yang tidak senang dengan pendirian para sasterawan  maka tergantung kepada pihak kerajaan semada mahu menerima atau tidak.

Akan tetapi untuk bertindak mempersoal dan menyiasat Sasterawan Negara kerana membaca puisi dalam acara BERSIH 2.0 dan dilihat sebagai orang yang disyaki terlibat dalam aktiviti menggugat keselamatan negara adalah sangat tidak wajar dan menghina.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
  



Monday 4 July 2011

TERAS MOHON KDYMM YDP AGONG MENERIMA RAYUAN RAKYAT

Kenyataan Media TERAS
5 hb Julai 2011

TERAS MOHON KDYMM YDP AGONG MENERIMA RAYUAN RAKYAT

TERAS memohon KDYMM YDP Agong menerima rayuan dan aduan rakyat untuk menyampaikan hasrat yang telah lama terpendam di nurani rakyat.
 
Kepincangan yang berlaku dalam proses demokrasi yang terpenting dalam Negara iaitu pilihanraya telah menyebabkan rakyat tidak puas hati dan menuntut perubahan .
 
Ini tertera dalam 8 tuntutan yang ingin dibawa oleh BERSIH 2.0.
 
TERAS berpendirian KDYMM YDP Agong mempunyai kuasa dalam  Perlembagaan untuk menerima aduan rakyat dan mengarahkan Perdana Menteri untuk menimbangkan permintaan rakyat yang sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.
 
Tidak ada tersebut dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang KDYMM YDP Agong menerima rayuan rakyat dan rakyat berhak untuk menyampaikan hasratnya kepada ketua Negara.
 
Keresahan rakyat mengenai pelbagai hal yang sedang berlaku dalam Negara adalah alasan kukuh untuk tuntutan perubahan segera dilakukan.
 
Bukan sahaja salahguna kuasa dan penyelewengan sangat berleluasa dilakukan oleh pihak yang meneraju kerajaan Persekutuan malah pelbagai fungsi agensi pemerintah telah dieskploitasi untuk kepentingan politik bagi mengekalkan kuasa.
 
Rakyat merasa sangat tidakpuashati dengan cara pihak polis bertindak atas nama keselamatan dan kestabilan . Ugutan dan penahanan yang tidak adil mengambarkan seolah-olah polis bertindak untuk pihak parti politik yang memerintah dan bukan untuk menjaga keselamatan orang awam.
 
Malah apa yang berlaku ialah  tindakan yang keterlaluan bila hanya kerana memakai baju BERSIH 2.0  oleh sesiapa dianggap suatu kesalahan. Apakah ini suatu tindakan professional dan  dan matang?
 
TERAS berpendirian bahawa permohonan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendapat terhadap penyelewengan dan ketidakadilan adalah suatu hak yang tidak harus dinafikan.
 
Kami mencadangkan agar ketegangan yang sedang diprovokasi oleh pelbagai pihak termasuk media  BERSIH 2.0 dapat diatasi dengan pendekatan menang-menang.
 
Yaitu pihak polis berunding untuk membenarkan jalan mana perhimpunan BERSIH 2.0 boleh diadakan , dari jam berapa hingga jam berapa dan cara penyerahan memorandum di istana Negara. Sementara itu pihak BERSIH 2.0 mematuhi semua arahan polis sehingga perhimpunan itu selesai.
 
Dengan cara ini ketegangan , tangkapan  , ugutan dan kecaman antara satu sama lain dapat dihentikan.      
 
TERAS juga menyatakan kekesalan terhadap masjid turut diguna untuk menyebarkan rasa ketakutan kepada rakyat untuk menyatakan sikap yang benar. Khutbah diseluruh Negara telah diguna untuk tujuan menyebar rasa benci kepada usaha rakyat untuk menyatakan yang haq mengikut saluran yang sah disisi undang-undang .
 
Padahal apa yang harus disedarkan ialah umat Islam perlu bersungguh mempertahankan yang hak dan membentaras kebatilan demi kestabilan dan kesejahateraan Negara dan menjunjung prinsip-prinsip keadilan dalam masyarakat.
 
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS



Saturday 2 July 2011

MEMFITNAH NIAT RAKYAT UNTUK MENUNTUT HAK YANG SAH

Kenyataan Media SAF
3 hb Julai 2011
 
MEMFITNAH NIAT RAKYAT UNTUK MENUNTUT HAK YANG SAH
 
SAF sangat kesal dengan perkembangan yang berkaitan dengan tindakan pihak pemerintah dalam menangani gelombang rakyat untuk berhimpun menuntut perubahan terhadap hak demokrasi dan sistem pilihanraya dinegara ini.
 
Kami merumuskan bahawa tindakan ini melambangkan fitnah besar yang sedang dilontar ke atas rakyat oleh pihak kerajaan sendiri.
 
Tanpa menimbang hak yang jelas tertera dalam Perlembagaan Persekutuan , menuding dan melontar dakwaan bahawa ini adalah tuntutan yang haram , berkait dengan ideologi komunis , didalangi oleh kuasa asing , adalah fitnah yang keterlaluan.  
 
Dengan apa yang sedang berlaku setiap hari kami mendapati kenyataan Perdana Menteri kelmarin bahawa “kita nak menentukan keamanan dan kesejahteraan atau pun ketenteraman awam, kita mesti tahu bagaimana kuasa yang kita gunakan, ia tidak akan menyebabkan rakyat tidak memahami ataupun tidak menyokong tindakan pihak polis atau kerajaan.” tidak membawa makna. Ini adalah kerana polis nampaknya bertindak secara wewenang sehingga memakai baju kuning bercetak BERSIH ataupun , tidak menjadi fobia kepada pegawai polis.
 
 
Pada hal PM juga berkata "Kita mesti menggunakan kuasa itu secara berhemah dan dengan menggunakan pertimbangan yang matang sebelum melakukan sesuatu dan rakyat mesti memahami serta menerima bahawa tindakan itu tindakan tepat dan berpatutan," .
 
Soal adakah dengan menahan mereka yang menghadhiri ceramah mengenai isu BERSIH 2.0 dan memakai baju berwarna kuning BERSIH di seluruh Negara itu suatu yang matang?
 
 
Adakah dengan mengugut akan menangkap individu  yang berhimpun untuk mendengar ulasan isu ini matang?
 
Adakah mengungkit kaum Cina perlu membuat persiapan bekalan makanan yang cukup jika perhimpunan BERSIH di adakan adalah matang.?
   
 
SAF menegaskan pendekatan yang kini sedang diguna oleh pihak-pihak wewenang yang mahu menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 iaitu memfitnah dengan cara memburuk-burukkan hasrat rakyat untuk menuntut hak mereka dan meminta agar pilihanraya dijalankan dengan bersih adalah terkeluar dari pemikiran yang waras.
 
Dengan menggunakan media yang secara tidak objektif  membuat liputan mengenai BERSIH 2.0 dalam pendekatan yang sangat bias , gerakan rakyat yang ingin melihat perubahan dalam  pelbagai sistem yang dilihat pincang terutama sistem pilihanraya , telah menjadikan demokrasi di Negara ini tidak bernilai samasekali.
 
TERAS melihat tindakan media yang berkepentingan dan pro pemerintah tidak menunjukkan professionalism dalam etika jurnalisme sehingga mesej yang berbentuk fitnah terhadap rakyat yang mendokong perhimpunan BERSIH 2.0 tergambar dengan sangat nyata.
 
Ternyata  agenda utama pihak yang beria-ia mahu memusnahkan hasrat rakyat ini telah merekayasa pelbagai fitnah dan menghalalkan apa sahaja tindakan termasuk menahan mengujudkan kelompok yang bersedia mengganas terhadap perhimpunan BERSIH 2.0.
 
Fitnah mengaitkan perhimpunan dengan tujuan untuk merosakkan Negara adalah berniat jahat , seolah-olah rakyat ini bodoh dan tidak memahami hak mereka untuk menjaga keselamatan dan kestabilan Negara.
 
Bukankah kerap kekecohan dalam mana-mana perhimpunan bermula apabila pihak keselamtan memulakan intimidasi yang tidak perlu seperti mengugut dengan tembakan gas pemedih mata dan pacutan air  kimia?.
 
SAF menuntut supaya pihak kerajaan menghentikan fitnah dan mendokong media pemfitnah yang akan menyemarakkan  sentimen kemarahan rakyat.
 
Dengan membiarkan fitnah menjadi alat politik dan kaedah untuk mengekalkan kuasa , Malaysia sedang menuju ke-ambang kehancuran.
 
Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi SAF       


Kenyataan Media: TERAS GESA HORMATI HAK RAKYAT DALAM PERLEMBAGAAN

Kenyataan Media
TERAS Pengupayaan Melayu
26hb Jun 2011
TERAS GESA HORMATI HAK RAKYAT DALAM PERLEMBAGAAN
TERAS mengesa semua pihak terutama pemerintah  supaya menghormati hak rakyat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan .
 
Kami sangat prihatin dengan pekembangan mutakhir mengenai isu perhimpunan BERSIH 2.0 yang kini menjadi persoalan nasional.
 
Kami berpendapat adalah malang bila pihak berkuasa nampaknya tidak merujuk samasekali kepada hak yang ditertera dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perhimpunan aman di adakan yang ingin disertai oleh warganegara ini.
 
Dalam keadaan ini KDYMM YDP Agong yang menjadi paksi untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak dicabul oleh institusi polis dan pihak yang kelihatan terlalu rakus untuk mempertahankan kuasa , tampil untuk menyelamatkan Perlembagaan Negara.
 
Dengan yang demikian juga TERAS bersetuju dengan pandangan SUHAKAM yang telahpun menyatakan pendiriannya agar pihak kerajaan memberi laluan untuk perhimpunan BERSIH 2.0 dibenarkan justeru ia merujuk kepada peruntukan dalam Perlembagaan  Persekutuan.
 
TERAS tidak dapat menerima cara dan reaksi pihak keselamatan yang nampaknya mengguna kuasa yang terlalu luas untuk bertindak sewenangnya termasuk menahan mereka yang memakai baju kuning yang mempunyai lencana BERSIH 2.0.
 
Apakah asas undang-undang yang diguna oleh polis untuk bertindak secara keterlaluan.
 
Tindakan “pre-emptif” dengan menahan individu hanya kerana  memakai baju kuning akan menjadikan Malaysia momokan masyarakat dunia.
 
Inilah buat pertama kalinya dalam sejarah negara satu warna dianggap menggugat pihak berkuasa sehingga Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa memakai baju kuning itu adalah haram disisi keselamatan Negara.
 
TERAS berpendirian tuntutan BERSIH 2.0 yang meliputi 8 perkara  dengan menyentuh isu-isu berkait dengan plihanraya yang adil , telus dan bersih , menghentikan politk kotor dan memerangi rasuah dalam pilihanraya adalah munasabah.
 
Sepatutnya tuntutan ini dihormati oleh pihak kerajaan dan pendekatan yang dipileh rakyat untuk mengadakan perhimpunan aman bagi menyatakan tuntutan ini serta menyerahkan memorandum kepada KDYMM YDP Agong sepatutnya diterima dengan pemikiran yang terbuka.
 
Menanggapi dan mengambil sikap yang bertentangan dengan semangat perlembagaan oleh pihak polis adalah suatu kesilapan yang akan merosakkan imej polis disisi rakyat.
 
Malah mengugut dan menimbulkan kebencian yang tidak berasas hanya kerana dianggap memakai baju kuning mencabar kerajaan adalah suatu tanda kerosakan dan kerendahan pemikiran institusi keselamatan negara .
 
Ditambah pula pihak polis nampaknya tiba-tiba mendakwa perhimpunan BERSIH 2.0 ada kaitan dengan idoelogi komunis adalah sangat tidak masuk akal.
 
Penangkapan 30 orang ahli PSM termasuk ahli Parlimen Dr Jayakumar  yang maseh merengkok dalam tahanan polis atas dakwaan mereka sedang menyebarkan ideologi komunis dan merancang untuk memerangi KDYMM YDP Agong , kini menjerumuskan  Negara ke ambang pemikiran  yang berundur  kebelakang.
 
TERAS menegaskan bahawa tuduhan yang tidak bersandar kepada bukti yang kukuh dan boleh digunapakai disisi undang-undang adalah satu tindakan yang salah.
 
Malah ini boleh menjadi prisiden yang tidak sihat apabila ia dijadi asas untuk pihak berkuasa sewenang-wenangnya menuduh dengan pra sangka buruk terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan.    
 
TERAS juga membantah tindakan polis yang telah menyoalsiasat sasterawan Negara Datuk A.Samad Said selama 90 minit hanya kerana beliau membaca puisi di pentas pelancaran BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur.
 
Kami tidak nampak rasional kenapa polis harus menonjolkan kecurigaan yang keterlaluan terhadap sasterawan Negara tersebut. Bukan sahaja ia suatu penghinaan terhadap beliau malah sangat menghina seluruh kerabat sasterawan dan budayawan di Negara ini apabila puisi dilihat suatu senjata untuk mencabar pihak wewenang.
 
Padahal puisi hanya ungkapan rasa untuk menyedarkan rakyat dan mengingatkan pemegang kuasa betapa penting untuk memlihara kemurnian demokrasi.
 
TERAS berpegang kepada prinsip menyokong kebenaran dan keadilan dan menentang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
 
Keresahan dan dakwaan penyelewengan dalam proses pilihanraya dalam pelbagai aspek yang disuarakan oleh BERSIH 2007 dan kini BERSIH 2.0 sememangnya perlu disahut dengan serius oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya .
 
Salahguna kuasa yang melibatkan senarai pengundi yang tidak bersih, penggunaan agensi awam termasuk institusi pendidikan awam iaitu sekolah dan  IPT  serta polis , tentera , jabatan peguam Negara , secara berleluasa untuk kepentingan mengekalkan kuasa pihak kerajaan yang memerintah , menyekat media parti lawan dan mengeksploitasi media awam dengan sangat ketara , penggunaan wang awam untuk kempen pilihanraya , menyebarluaskan fitnah dan mengguna taktik kotor dan mengaibkan pihak lawan dalam kempen serta manipulasi persempadanan pilihanraya adalah sungutan yang bukan tidak berasas.
 
Perhimpunan BERSIH 2.0 sepatutnya dibenarkan dengan hati terbuka oleh pemerintah dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan ,pihak polis seharusnya memberi ruang untuk rakyat menyatakan pendirian mereka secara aman dan mengguna saluran demokratik.
 
TERAS menegaskan jika tindakan pihak polis semakin keras dan tidak mahu mengambilkira pandangan agensi berwibawa seperti SUHAKAM maka hormat rakyat terhadap institusi keselamatan Negara akan terjejas.
 
Sementara itu nampaknya pihak polis pula tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengawal mereka yang semakin mengganas terhadap aktivis BERSIH 2.0 sehingga berlaku insiden menyerang dan mengujudkan ketengangan oleh kumpulan yang tidak bersetuju dengan BERSIH 2.0. Adakah Negara ini hendak dibiar dikawal oleh samseng jalanan?
 
TERAS dengan itu mengesa agar perhimpunan BERSIH 2.0 diberi layanan yang lebih adil dan matang jika Malaysia hendak dihormati sebagai Negara yang member ruang kepada rakyat untuk menyatakan penirian secara aman.
 
Mohd Azmi Abdul Hamid.
Presiden TERAS