Friday 29 April 2011

SUMPAH LAKNAT MENJADI BAHAN MAINAN

SAF ANTI FITNAH (SAF)

8/4 Right Angle , Jalan 14/22 , Seksyen 14 , Petaling Jaya , Selangor
Tel 012 4753516/012 6412305/0126577878

Kenyataan Media

29hb April 2011

SAF MENOLAK SUMPAH LAKNAT MENJADI BAHAN MAINAN

SAF (Saf Anti Fitnah) kesal sumpah laknat kini sudah menjadi bahan mainan untuk memperkukuhkan fitnah seperti yang dilakukan oleh Sazryl Eskay Abdullah  petang 29hb April 2011 di Masjid Amru Al Asr, Bandar Baru Sentul , Kuala Lumpur.

Nampaknya Eskay  termasuk dua lagi anggota Kumpulan Datuk T tidak mengendahkan langsung larangan para ulama bahawa sumpah Mubahalah seperti yang mereka lakukan adalah tertolak dalam Islam.

Dengan yang demikian jelas mereka cuba  berlagak tahu dan menunjukkan seolah-olah mereka yang lebih jujur  dari para ulama sendiri.

SAF melihat perlakuan mereka adalah tindakan menghina dan mempermain-mainkan hukum Islam yang sepatutnya diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.

Secara jelas nampaknya pihak berkuasa bertindak membiarkan perlakuan mereka tanpa memberi sebarang ingatan bahawa ia boleh membawa fitnah lebih besar bila orang bukan Islam akan memandang rendah kepada hukum Islam berkenaan dengan hukum jenayah Qazaf.

SAF kesal sementara pihak berkuasa agama tahu bahawa dengan melakukan sumpah laknat dalam kontroversi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat jelas lagi nyata, Eskay, Shuib serta Abdul Rahim Tambi Chik, akan meletakkan hukum agama sebagai bahan murahan, namun tindakan mereka masih tidak ditegur dan dilarang oleh Jabatan Agama mahupun Menteri Hal Ehwal Islam JPM.

Padahal sudah jelas beberapa  mufti telahpun mengeluarkan pendapat mereka bahawa sumpah laknat untuk tuduhan zina melalui video itu tidak termasuk alasan untuk melakukan sumpah laknat oleh pihak yang menuduh.

SAF dengan ini sangat kesal terhadap perkembangan isu video seks yang nampaknaya semakin menjadi bahan murahan untuk terus ditayang oleh media massa dan menjadi berita utama  politik tanah air.

SAF bertegas dengan pendirian menolak sekeras-kerasnya usaha menggunakan isu menuduh zina dan liwat terus diulang-ulang di Negara ini yang kini menyebabkan Malaysia menjadi Negara yang dipandang rendah oleh dunia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjadi sasaran serangan tuduhan zina dan liwat secara paling menjijikkan dan mengaibkan.

Apakah hanya kerana perbezaan pendirian politik,  Negara ini mahu dibiarkan dicatur dengan budaya politik yang mengguna senjata seks sebagai alat menjatuhkan seorang lawan?

Lebih parah lagi usaha itu semakin dirancakkan bersama sokongan dan komplot media massa. Jelas,  kini musuh politik Datuk Seri Anwar  benar-benar meletakkan agenda menjatuhkan karier politiknya sebagai agenda utama sebelum pilihanraya umum ke 13 akan datang.

SAF menentang keras pihak yang nekad untuk menjatuh dan mengaibkan beliau termasuk menggunakan sumpah laknat di luar syarat yang ditentukan oleh Islam.  Kesannya ialah mempermainkan-mainkan suatu sisi dari undang-undang Allah S.W.T .

SAF kesal kerana tidak ada reaksi dari pihak Jabatan Agama Islam supaya menjelaskan kedudukan hukum  Islam  mengenai sumpah Mubahalah yang dengan mudah diperalat dan dipolitikkan.  Akibatnya  kekeliruan dan prasangka masyarakat kini menjadi gejala yang memburukkan lagi keadaan.

SAF dengan ini menuntut supaya pihak berkuasa agama semada Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri menyatakan sikap dan keputusan yang jelas supaya kekeliruan yang semakin berleluasa terhadap isu ini dapat dihentikan.

Pihak berkuasa agama  juga perlu menegur dan mengingatkan semua pihak media massa supaya menghentikan amalan memperhangat lagi fitnah seks sebagai berita yang bertujuan untuk menambahkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat.

Tindakan sumpah laknat yang telah dilakukan bermula dari Saiful, kemudian Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan kini Eskay dan rakan-rakan mereka,  telah mengakibatkan orang bukan Islam memandang serong terhadap undang-undang Allah S.W.T.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi SAF      




Thursday 28 April 2011

SAF MEMOHON MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU CAMPUR TANGAN HENTIKAN FITNAH SEKS

SAF ANTI FITNAH (SAF)
8/4 Right Angle , Jalan 14/22 , Seksyen 14 , Petaling Jaya , Selangor
Tel 012 4753516/012 6412305/0126577878  
SAF MEMOHON MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU CAMPUR TANGAN HENTIKAN FITNAH SEKS


SAF (Saf Anti Fitnah) memohon Majlis Raja-raja Melayu segera campurtangan untuk menghentikan amalan mengfitnah dan mengaibkan seseorang melalui media dan internet dengan mengedar video seks yang semakin menyemarak di Malaysia.

Atas maksud menjaga maruah dan akhlaq kaum Muslimin di Negara ini , Raja-raja Melayu berhak untuk mengarahkan semua pihak terutama media massa untuk menghentikan penyiaran dan pengedaran video lucah untuk mengfitnah dan menjatuhkan seseorang dalam persaingan politik.

Kini video seks kedua  sekagi lagi diedar dan disiarkan dalam internet dan diulangsiar melalui TV dan dicetak dalam akhbar ,  tanpa segan silu dan tanpa mengambil berat kesan yang akan berlaku ke atas masyarakat awam terutama kanak-kanak dan generasi muda.

Apakah jenis masyarakat yang hendak kita ujudkan dengan membiarkan amalan menayang dan menyiarkan video seks dalam media massa awam secara berleluasa.?

Tidakkah masyarakat akan akhirnya menjadi biasa dengan fitnah video lucah dan akibat jangka panjang akan menjadi sangat parah dari segi nilai dan moral masyarakat itu sendiri.?

SAF membantah keras dan sangat mengambil berat terhadap amalan buruk dan menjijikan serta berniat jahat dan sangat hina untuk pihak kumpulan Datuk T dan mereka yang bersekongkol dalam komplot ini dibenarkan meneruskan penayangan video seks untuk menuduh dan mengaibkan seorang lawan politik.

Raja-raja Melayu perlu melihat isu ini sebagai suatu serangan kepada maruah orang Melayu dan konspirasi menjijikkan untuk menjatuhkan seorang secara paling jahat dan hina.

SAF berpendapat dengan sikap berlengah-lengah pihak polis untuk bertindak  ke atas mereka yang memulakan pengedaran dan penayangan vdeo seks menunjukkan ada sesuatu yang ingin diselindungi . 

Masyarakat mempunyai sebab untuk mencurigai PDRM kerana jelas layanan terhadap mereka yang terlibat melanggar undang-undang Akta Penapisan Filem dan Kanun Keseksaan 292 sangat lambat dan teragak-agak.

Pihak PDRM sepatutnya tidak menunjukkan seolah turut menyokong dan bersikap tidak professional untuk bertindak segera ke atas kumpulan Datuk T yang jelas melanggar undang-undang.

Raja-raja Melayu juga sepatutnya menegaskan kepada pihak media terutama Utusan Malaysia , Kosmo , Berita Harian , TV3 dan RTM supaya menghentikan menayangkan video berkenaan yang menimbulkan pra sangka dan menyebar fitnah yang sungguh meloyakan.

SAF menegaskan bahawa pihak media tersebut kebelakangan ini jelas nampak ghairah untuk memburukkan orang yang dituduh dengan hasrat menjatuhkan dan mengaibkan pihak berkenaan tanpa merasa bersalah .

Secara terancang media berkenaan jelas melakukan pemberitaan terpileh untuk menimbulkan prasangka yang cukup terhadap orang yang dituduh sebelum sebarang siastan polis dilakukan.

Pernyataan dari salah seorang  dari kumpulan Datuk T tersebut ketika mendedahkan video ini secara terus terang menyatakan bahawa beliau menimbulkan isu ini adalah kerana beliau  telah dijatuhkan dari karier politiknya.
Dengan sebab itu menjadi asas yang kuat betapa video seks ini teredar bertujuan  untuk membalas dendam politik.
SAF tidak ada pilihan lain melainkan mengesa Raja-raja Melayu campurtangan jika isu ini mahu ditangani dengan penuh bermuruah dan adil.

Kami benar-benar mengharapkan agar Raja-raja Melayu melaksanakan tanggungjawab agama dan moral untuk memastikan agar gejala fitnah dan menjatuhkan aib seseorang dihentikan dilarang samasekali.  

SAF akan menyiapkan diri untuk mengadap Raja-raja Melayu segera dalam rangka memohon agar kuasa 

Raja-raja diguna untuk menghentikan amalan politik fitnah yang mengaibkan.
 

Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi SAF 


Sunday 24 April 2011

Jangan mudah menuduh


Dinsman
Jangan mudah menuduh


Bismillaahir rahmaanir rahiim
Allah Subhanahu wa-Ta‘ala berfirman
dalam surah an-Nur ayat keempat
Dan orang-orang yang menuduh perempuan suci
Wallaziina yarmuu-nal muhsonaati
Thumma lam ya’tuu bi-arba’ati syuhadaa’
Fajliduu hum thamaaniina jaldah
Walaa taqbaluu lahum syahaadatan abada
Wa-ulaa-ika humul faasiquun

Orang-orang yang menuduh orang lain berzina
Thumma lam ya’tuu bi-arba’ati syuhadaa’
Kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi
Fajliduu hum thamaaniina jaldah
Hendaklah kamu sebat mereka lapan puluh kali sebat
Dan jangan kamu terima lagi mereka menjadi saksi
sampai bila-bila, kerana mereka itu adalah
orang-orang fasik

Itu bunyinya kata-kata asli dari Tuhan sendiri
Allah Subhanahu wa-Ta‘ala, Tuhan kita yang kita sembah
Yang terus terpelihara keaslian teksnya itu hingga ke hari ini
Sebahagian kita membacanya sebahagian kita tidak membacanya
Tetapi semua kita sama-sama tanpa menuding jari ke arah lain
Kita semua selama ini mengabaikan firman penuh hikmah itu
sekian lamanya
sekian lamanya

Kata-kata itu kita biarkan terbaring kaku dalam lipatannya
Padahal ia disambut Nabi dalam segala keperitan perjuangan
Semata-mata buat penyuluh hidup kita yang terjamin sempurna
Jangan mudah menuduh orang!
(Lihat dulu di situ. Perhatikan dulu di situ)
Menuduh orang itu. Jangan dianggap perkara ringan
Beratnya perkara menuduh tanpa empat orang saksi
Allah tegaskan langsung
            Fajliduu hum thamaaniina jaldah
            Sebat mereka lapan puluh kali sebat
Tanpa menyebut pun persoalan benar tidaknya tuduhan
Tanpa peduli pun pada aksi lucah yang dipaparkan

Fajliduu hum thamaaniina jaldah
Jelas, terang, mandatori, tanpa pilihan, tanpa hujah
kerana hujah utamanya telah ditetapkan arba’ati syuhadaa’
Allah sendiri yang menetapkannya mesti empat orang saksi
Jelas terang tanpa kesamaran dalam kitab agungnya al-Quran
Tiada pilihan, tak perlu keterangan lain
Cukup dan Sempurna
Hanya kita
Telah mengabaikannya sekian lama
Hanya kita, telah mengabaikannya sekian lama

hingga orang-orang politik kita menjadi gila semuanya
gilakan kuasa gilakan harta gilakan hiburan dunia mereka
sanggup menjaja video lucah itu sebagai wadah kuasa politik
tanpa peduli biar apapun terjadi ke atas akhlak dan kemanusiaan
seluruh bumi kita ini tercemar hanyir busuk dengan kelucahan
maka barulah kita tiba-tiba tersedar

Rupa-rupanya al-Quran indah meletakkan batas-batasnya
Agar jangan dilanggar batas-batas Allah itu
Mesti empat orang saksi
Memang ia seperti mustahil
Kerana memang Allah hendak menyekat kejadian itu
Jangan dihebah-hebahkan. Jangan dituduh-tuduh sebarangan
Pelajarilah hikmah di sebalik hukum itu
kerana hukum Allah bukan sekadar menghukum
tetapi bersamanya hikmah dan rahmat

Tapi kita sudah terlanjur terlalu jauh
Terlalu asyik dengan pencapaian mengejar kemajuan
Kita tinggalkan saja hukum yang dicipta Tuhan
Padahal Tuhan kita maha sempurna maha bijaksana
Hari ini kita terpinga-pinga bertanya
Apakah tiada siapa hendak menjalankan perintah Allah itu?

Wahai orang-orang yang bernaik saksi mengucap syahadah
Di manakah kerajaan kamu yang kamu amanahkan untuk
melaksanakan hukum Allah yang perlu kamu laksanakan ini?
Apakah perkara semudah begini pun kamu tak berdaya melakukan
sedang kamu bermegah maju dengan segala kecanggihan ilmu?
Di manakah hebatnya ilmu dan teknologi kamu
Sepatah perintah Allah inipun tak berdaya kamu laksanakan?

Nanti kamu akan terima padahnya azab Allah
Dan ketika itu, segala penyesalan tidak berguna lagi
Segala kecanggihan kemajuan ilmu dan teknologi pun
tidak berguna lagi, terlambat sudah segalanya

Hendak bangkit, bangkitlah sekarang!
Sebelum matahari pagi terbit di sebelah Barat
Hendak bangkit, bangkitlah sekarang
Sebelum tenggelam dengan hanyir kelucahan
Hendak bangkit, bangkitlah sekarang
Sebelum lidah ganas tsunami menerkam lagi
Hendak bangkit, bangkitlah sekarang
Hendak bangkit, bangkitlah sekarang!


(Dibacakan kali pertama di Markas Tmn Melewar,
Kuala Lumpur, 22 april 2011)



Monday 18 April 2011

Pemimpin Muslim dan politik fitnah

Dari The Malaysian Insider

Ulama gesa pemimpin Muslim elak politik fitnah
Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
April 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 April — Golongan ulama hari ini membuat pendirian menggesa pemimpin-pemimpin Islam mengelak daripada terlibat dalam politik fitnah atas alasan ia bertentangan dengan Islam dan boleh mengaibkan orang lain.

Anggota gerakan Saf Anti Fitnah (SAF) mendakwa ahli-ahli politik terlalu ghairah untuk menggunakan fitnah lucah terhadap pesaing-pesaing politik mereka.

Kata mereka, dakwaan palsu bukan sahaja membawa impak buruk ke atas soal maruah mangsa, malah ke atas keseluruhan masyarakat.

Jurucakap SAF, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, media mempunyai peranan besar dalam menghentikan penyebaran fitnah sedemikian.

“Media khususnya media arus perdana harus mengelak daripada terlibat dalam budaya fitnah menjatuh dan mengaibkan seseorang sama ada menerusi berita ataupun temu bual.

“Media juga seharusnya tidak bersubahat dalam menyebarkan fitnah dan mencetuskan keraguan di kalangan masyarakat Islam,” kata beliau pada satu forum yang diadakan di sebuah masjid di Ampang.

Malah kata beliau, media juga seharusnya mengamalkan prinsip kewartawanan yang beretika dan profesional.
Mohd Azmi juga menafikan pemimpin-pemimpin agama mengambil sikap membisu dalam isu berkaitan video seks, yang didedahkan “Datuk T”, yang lelaki dalam aksi seks adalah mirip seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Sebaliknya kata beliau, media tidak membolehkan pihaknya memberi pandangan mereka.

“Mereka yang membenarkan dan tidak mengatakan apa-apa mengecam fitnah juga bersalah tidur atas katil syaitan,” katanya.

Rakaman video seks itu didedahkan oleh “Datuk T” oleh bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuiab Lazim tiga bulan lalu.

Laporan media hari ini juga menyebut siasatan rakaman video aksi seks, didedahkan “Datuk T” itu, mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, bekas mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya berkata, Nabi Muhammad s.a.w berkata mereka yang terlibat dalam fitnah bukan sebahagian daripada komuniti Islam.

“Adalah sesuatu yang mengarut apabila beliau (Abdul Rahim) mengatakan yang beliau mendedahkan video seks demi kebaikan masyarakat. Ia menunjukkan bahawa beliau tidak faham Islam,” katanya.

Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir juga menekankan bahawa rakaman video tidak boleh digunakan di mahkamah syariah memandangkan soal ketulenan boleh dipersoalkan.

“Tidak pernah video atau foto digunakan sebagai bukti dalam tuduhan berzina. Malah, penggunaan DNA juga tiada konsensus di kalangan ulama.

“Secara peribadi, DNA hanya dibenarkan jika ujian makmal dikendalikan oleh seorang Muslim yang alim,” katanya lagi.