Kenyataan Media SAF 1 hb Jun 2011 SAF GESA AGAR FITNAH YANG DITOLAK OLEH PEMUDA UMNO DAN PAS DIKOTAKAN DALAM TINDAKAN. SAF menyahut kenyataan kedua-dua Ketua Pemuda UMNO dan PAS yang menolak fitnah disuarakan dalam forum anjuran Sinar Harian kelmarin. Namun ia hendaklah dikotakan dalam bentuk tindakan yang nyata dan bukan hanya pernyataan kosong semata. Sementara memang kes pembunuhan Altantuya penuh persoalan dan dikaitkan dengan Perdana Menteri dan sangat memerlukan penjelasan dari pihak Perdana Menteri sendiri, pihak yang mendakwa beliau, juga hendaklah menghentikan tuduhan jika tidak mempunyai bukti. Di mata khalayak ramai, pembabitan pembantu Perdana Menteri serta dua orang pengawal peribadi beliau telah menimbulkan banyak kekeliruan dan tandatanya mengenai kes tersebut kerana catatan imigresen terhadap mangsa yang masuk secara rasmi ke dalam negara tiba-tiba dihilangkan sepenuhnya. Namun dalam hal tuduhan zina dan liwat, layanan yang berbeza telah diberikan dalam pemberitaan di media massa terutama media arus perdana. Nampaknya ada keghairahan yang luar biasa untuk pihak yang dituduh diserang habis-habisan dalam bentuk fitnah yang melampaui batas hukum agama mahupun hukum sivil. Oleh itu SAF juga mahu melihat kesungguhan Ketua Pemuda UMNO menyatakan hal ini secara berterus terang kepada pucuk kepimpinan UMNO. Soal yang menjadi keperihatinan SAF ialah isu Datuk Seri Anwar nampaknya mendapat fokus yang sangat keterlaluan dalam media arus perdana dan semacam mendapat restu dari pimpinan UMNO untuk menghukum beliau secara terang-terangan sebelum beliau diberi peluang untuk membela diri. Malah dalam proses pembicaraan Datuk Seri Anwar sendiri, telah menyebabkan pendedahan yang dikehendaki oleh pimpinan UMNO terhadap beliau dalam media massa arus perdana diolah sebegitu rupa sehingga beliau dan keluarganya diaibkan secukupnya. Hal inilah yang membuat SAF melihat gelagat surat khabar seperti Utusan Malaysia , Berita Harian dan Kosmo serta TV3 dan RTM sebagai agensi penyiaran yang tidak objektif dan tidak menjaga tatasusila moral dalam pemberitaan bila mereka turut menjadi penyebar fitnah secara terang-terangan tanpa batas. SAF memang bersependapat dengan bekas Mufti Perlis bahawa kedua-dua pihak harus konsisten dalam mengekang fitnah, akan tetapi beliau tidak harus naïf dalam melihat tabiat dan cara pimpinan yang berada dalam gebuk kuasa beria-ia benar untuk membunuh musuh politik dengan cara paling tidak bermoral termasuk mengguna seluruh agensi pemerintah untuk melakukan asasinasi peribadi (character assassination) terhadap lawan . Rakyat semua faham betapa negara ini menyaksikan pendedahan dan manipulasi berita dilakukan dengan cara paling menjijikkan dalam akhbar bila berkait dengan pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar. SAF semakin yakin betapa UMNO nampaknya jelas mengabsahkan fitnah sebagai cara menjatuhkan lawan bila pernyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Datuk Noh Omar mengiakan perlakuan mengedarkan video lucah tidak harus menjadi masalah kepada pembangkang jika ia boleh menyebabkan rakyat marah kepada UMNO. Adakah ini pendirian rasmi UMNO dalam hal pengedaran video lucah untuk mengaibkan lawan? Apakah ini juga bermakna pihak parti lawan boleh bersetuju dengan mana-mana pihak yang menentang UMNO semada orang luar atau orang dalam, boleh melakukan hal yang sama (mengedar video lucah) terhadap pemimpin UMNO? Sebab itu sejak dari awal SAF ditubuhkan kami melihat isu sebenar di pihak UMNO bukan untuk melihat kebenaran dan menegakkan keadilan tetapi lebih untuk membunuh lawan dengan apa cara sekalipun termasuk dengan cara mengaibkan lawan. Dengan sebab itu kami sangat menghendakki agar rakyat jangan diperbodohkan dan diracuni dengan kempen politik yang melampaui batas sehingga masing-masing membalas dengan cara yang juga tidak bermoral. Jelas undang-undang sivil yang sepatutnya dikuatkuasakan itu pun tidak dilaksanakan dalam hal pengedaran video lucah menyebabkan masyarakat sangsi terhadap pihak berkuasa yang nampak bersekongkol untuk membenarkan fitnah disebarkan secara berleluasa. Dalil Al Quran semestinya digunakan keatas mana-mana pihak mengenai penolakan fitnah. Akan tetapi hendaklah diingatkan bahawa bila berlaku secara jelas suatu pihak yang menyebar fitnah tidak mengendahkan dalil syara’ yang jelas walaupun ditegur oleh ahli agama, jelaslah pihak tersebut memang mahu meneruskan fitnah sehingga matlamat yang dikehendaki tercapai. SAF dengan itu menggesa semua pihak kembali untuk memberi hak kepada orang yang dituduh berzina dan liwat untuk membela diri mengikut hukum syara. Iaitu jika yang menuduh seseorang melakukan zina tidak mengikut kriteria kesaksian seperti yang ditetapkan oleh syara’ maka hukum Qazaf semestinya dilaksanakan. Mohd Azmi Abdul Hamid Pengerusi SAF |
Gerakan Menentang Fitnah Sebuah NGO, Organisasi Massa yang antara lain terdiri daripada: TERAS , SHURA , PAKSI , Budayawan Bertindak , SALIMAH , Kelab GADIS –SALIMAH ,ISRA (Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat ,MBWM( Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia) , Pusat Tassawur Islam Perak, Jaringan Kuliah Dhuha Perak , Muafakat Perubuhan Islam Kedah (WEHDAH), (JAMA’IY) Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak.
Tuesday, 31 May 2011
Fitnah: Ditolak Pemuda Umno dan Pemuda Pas, dikotakan tindakan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment