Mubahalah wujud namun bahaya jika menjadi amalan masyarakat
oleh Mohamad Radzwill bin Abdullah
Pada Jumaat petang (15.8.08) selepas waktu Asar, Malaysia dikejutkan dengan mubahalah En. Saiful Bukhari yang kononnya dia telah diliwat oleh En. Anwar Ibrahim. Mubahalah itu telah disiarkan dikaca televisyen dan dapat disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dalam sejarah Malaysia, Saiful adalah orang ketiga yang bermubahalah selepas Tunku Abdul Rahman dan Mohd Asri Muda.
Kemubahalahan Saiful Bukhari ini didorong oleh cadangan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin agar Saiful dan Anwar Ibrahim bermubahalah agar isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
Perkataan mubahalah diubahsuai dari perkataan ‘mulaa a’nah’ sebuah perkataan Arab yang bermaksud perbuatan melaknati diri. Dr. Asri mengkiaskan peristiwa cabaran Nabi Muhammad kepada Kristian Najran agar mereka bermubahalah untuk menyelesaikan pendebatan yang tidak sudah mengenai keTuhanan Isa dalam agama Kristian.
Peristiwa ini tercatit dalam surah Al-Imran ayat 61:
“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.
Perbezaan ketara antara mubahalah dengan sumpahan lain adalah keyakinan umat bahawa sesiapa yang berbohong dalam mubahalahnya akan dimakan sumpah dalam tempoh setahun.
Ini disandarkan pada tulisan Ibn Hjar Al-Asqalanee bahawa dia telah bermubahalah dengan seorang pengikut Ibn Arabi bernama Ibn Al-Ameen. Lalu Ibn Al-Ameen telah termakan sumpah lalu mati dalam tempoh tidak sampai setahun. Ibn Hjar mengatakan bahawa sesiapa yang berbohong dalam mubahalahnya akan terkena laknat Tuhan dalam tempoh setahun.
Namun tiadanya nas daripada al-Quran dan Hadith Nabi bahawa sesiapa yang bohong dalam sumpahanya akan mendapat laknat Tuhan di dunia, jauh sekali dalam tempoh setahun.
Hujahan bahawa kesan atau akibat dari mubahalah hanya bersandarkan pada penceritaan Ibn Hajr Al-Asqalanee bahawa lawannya telah termakan sumpah sementara kononnya dia dipihak yang benar kerana masih hidup.
Hujah Dr Asri bahawa mubahalah tidak lengkap jika pihak lawannya tidak bermubahalah juga adalah salah sama sekali. Ini kerana, walaupun Nabi telah bermubahalah, orang Arab Kristian Najran tidaklah menyahut cabaran Nabi itu.
Malahan peristiwa Kristian Najran ini hanya disebut dalam al-Mustadrak, Sunan Bayhaqi dan Sahih Tarmidzi. Ianya tidak muncul pula dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.
Begitu juga dalam peristiwa seorang sahabat Nabi, Saidina Abdullah ibnu Abbas yang mencabar sahabat-sahabat yang lain bermubahalah dalam isu perwarisan harta (“al-awl”). Walaupun kebenaran itu pada sahabat-sahabat yang lain yang berlainan pendapat dengan Saidina Abdullah ibnu Abbas, namun mereka tidak juga menyahut cabaran Saidina Abdullah ibnu Abbas.
Mempraktikkan mubahalah untuk menyelesaikan masalah tidaklah dituntut dalam Islam. Menceritakan bahawa terdapatnya laknat Tuhan dalam tempoh setahun juga boleh merosakkan akidah masyarakat.
Jika masyarakat mempercayai mubahalah mampu menyelesaikan masalah hidup, masyarakat akan mengambil mudah akan semua perkara. Masalah semuanya diakhiri dengan mubahalah lalu proses penyiasatan, perundangan dan kehakiman sudah tiada lagi. Maka tidak perlulah lagi dengan hakim dan proses mencari bukti jika masyarakat boleh menyaksi laknat Tuhan kepada orang yang berbohong.
Selain itu, perbuatan khianat juga boleh muncul selepas mubahalah dibuat. Orang yang bermubahalah boleh sahaja membuat khianat kepada lawannya bagi menunjukkan bahawa lawannyalah yang sudah dimakan sumpah. Ini amat merbahaya bagi sistem sosial masyarakat. Keadilan boleh terhapus sementara kebenaran pula hanya diukur melalui sumpah.
No comments:
Post a Comment