Kenyataan Media TERAS
5 hb Julai 2011
TERAS MOHON KDYMM YDP AGONG MENERIMA RAYUAN RAKYAT
TERAS memohon KDYMM YDP Agong menerima rayuan dan aduan rakyat untuk menyampaikan hasrat yang telah lama terpendam di nurani rakyat.
Kepincangan yang berlaku dalam proses demokrasi yang terpenting dalam Negara iaitu pilihanraya telah menyebabkan rakyat tidak puas hati dan menuntut perubahan .
Ini tertera dalam 8 tuntutan yang ingin dibawa oleh BERSIH 2.0.
TERAS berpendirian KDYMM YDP Agong mempunyai kuasa dalam Perlembagaan untuk menerima aduan rakyat dan mengarahkan Perdana Menteri untuk menimbangkan permintaan rakyat yang sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.
Tidak ada tersebut dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang KDYMM YDP Agong menerima rayuan rakyat dan rakyat berhak untuk menyampaikan hasratnya kepada ketua Negara.
Keresahan rakyat mengenai pelbagai hal yang sedang berlaku dalam Negara adalah alasan kukuh untuk tuntutan perubahan segera dilakukan.
Bukan sahaja salahguna kuasa dan penyelewengan sangat berleluasa dilakukan oleh pihak yang meneraju kerajaan Persekutuan malah pelbagai fungsi agensi pemerintah telah dieskploitasi untuk kepentingan politik bagi mengekalkan kuasa.
Rakyat merasa sangat tidakpuashati dengan cara pihak polis bertindak atas nama keselamatan dan kestabilan . Ugutan dan penahanan yang tidak adil mengambarkan seolah-olah polis bertindak untuk pihak parti politik yang memerintah dan bukan untuk menjaga keselamatan orang awam.
Malah apa yang berlaku ialah tindakan yang keterlaluan bila hanya kerana memakai baju BERSIH 2.0 oleh sesiapa dianggap suatu kesalahan. Apakah ini suatu tindakan professional dan dan matang?
TERAS berpendirian bahawa permohonan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendapat terhadap penyelewengan dan ketidakadilan adalah suatu hak yang tidak harus dinafikan.
Kami mencadangkan agar ketegangan yang sedang diprovokasi oleh pelbagai pihak termasuk media BERSIH 2.0 dapat diatasi dengan pendekatan menang-menang.
Yaitu pihak polis berunding untuk membenarkan jalan mana perhimpunan BERSIH 2.0 boleh diadakan , dari jam berapa hingga jam berapa dan cara penyerahan memorandum di istana Negara. Sementara itu pihak BERSIH 2.0 mematuhi semua arahan polis sehingga perhimpunan itu selesai.
Dengan cara ini ketegangan , tangkapan , ugutan dan kecaman antara satu sama lain dapat dihentikan.
TERAS juga menyatakan kekesalan terhadap masjid turut diguna untuk menyebarkan rasa ketakutan kepada rakyat untuk menyatakan sikap yang benar. Khutbah diseluruh Negara telah diguna untuk tujuan menyebar rasa benci kepada usaha rakyat untuk menyatakan yang haq mengikut saluran yang sah disisi undang-undang .
Padahal apa yang harus disedarkan ialah umat Islam perlu bersungguh mempertahankan yang hak dan membentaras kebatilan demi kestabilan dan kesejahateraan Negara dan menjunjung prinsip-prinsip keadilan dalam masyarakat.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
No comments:
Post a Comment