Kenyataan Media TERAS
6hb Julai 2011
PENYELESAIAN YANG BIJAK – PERHIMPUNAN TETAP DITERUSKAN
TERAS menyokong keputusan BERSIH 2.0 untuk diadakan di stadium seperti yang diputuskan demi menjaga keselamatan awam.
Dengan mempertimbangkan titah KDYMM YDP Agong serta melihat reaksi pihak semada polis mahupun kelompok yang ghairah untuk menghalang perhimpunan secara ganas , maka mengadakannya di stadium adalah suatu yang bijak.
Kami berpendapat adalah sangat dikesali bagaimana BERSIH menjadi isu yang tidak terkawal sehingga pelbagai tohmahan dan andaian yang liar di lontar terhadap rakyat yang mahu mengguna hak untuk menyuarakan keresahan mereka terhadap proses pilihanraya di Malaysia.
Kini dengan perkenan KDYMM YDP Agong yang bersedia menerima penganjur BERSIH 2.0 untuk mengadap dan mendengar permohonan mereka , menunjukkan segala sikap pihak polis yang tidak mahu berrunding dan menghukum BERSIH 2.0 sebagai haram adalah tertolak dan tidak direstui oleh Sri Paduka Baginda sendiri.
Kenapakah polis menyatakan perundingan telah ditutup padahal KDYMM YDP Agong pula bersedia menerima BERSIH untuk mengadap?
Dari siapakah pihak polis menerima arahan sebenarnya untuk menutup segala pintu rundingan ?
Ini juga memperlihatkan betapa segala tuduhan yang telah dilontar terhadap BERSIH sebagai terlibat dengan idoelogi komunis , didalangi oleh kuasa asing , bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan secara anarki dan mengujudkan rusuhan untuk menggugat keselamatan awam adalah fitnah belaka.
TERAS mengharapkan perhimpunan yang akan diteruskan dengan berkumpul di Stadium Negara akan tetap dapat menyuarakan kehendak rakyat supaya tuntutan 8 perkara BERSIH diambil tindakan oleh pihak kerajaan dengan sikap yang lebih positif.
Sementara BERSIH diingatkan supaya bertanggungjawab untuk menjamin keamanan sepanjang perhimpunan , sebelum dan sesudah perhimpunan, kami juga mengharapkan pihak polis mengawasi sebarang pihak yang cuba menimbulkan provokasi dan sengaja mahu mengujudkan keteganggan untuk memfitnah BERSIH.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS
No comments:
Post a Comment