Tuesday, 5 April 2011

Agenda Transformasi


Kelucahan itu agenda Transformasi Kerajaan Malaysia?



Posted on Tuesday, April 05 @ 06:15:21 PDT by paktam Detikdaily

Oleh DINSMAN

Tak sangka rupa-rupanya Transformasi Kerajaan Malaysia itu berlaku begitu cepat sekali. Hari itu kita terkejut dengan rancangan besar Kerajaan Najib hendak mendirikan beberapa kelab malam besar bertaraf dunia, di samping usaha-usaha bagi memajukan teknologi pembuatan filem dan video, bagi meningkatkan lagi aktiviti hiburan dan maksiat di negara ini supaya kita dapat bertahan dalam arus globalisasi dan tidak tersisih dalam persaingan dengan negara-negara maju.

Memang tak sangka dan tak diduga. Rupa-rupanya program Tranformasi Kerajaan Malaysia itu telah dirancang dan diatur dengan begitu rapi dan kemas sekali. Kita Pakatan Rakyat (PR) sekadar mengkritik dan mempersoalkan beberapa rancangan mereka yang kita tak setuju itu. 

Bisinglah kita beberapa hari dengan isu itu – dalam Parlimen, dalam media dan di pentas-pentas ceramah politik. Lepas itu kita pun tinggalkan isu itu, dan sibuklah pula kita dengan isu-isu lain pula. Ini biasa. Mungkin tak ramai kita yang sedar. Dan pihak Umno/BN pun sudah arif benar dengan tabiat tak berdisiplin kita yang merugikan ini. Dan mereka selalunya pandai dan tangkas memanfaatkan tabiat buruk kita ini.

Banyak sudah saya perhatikan. Kita bising dengan isu-isu tertentu, kita dedahkan di dalam media, kemudian kita tinggalkan begitu saja. Tak tahu dan macam tak kisah pun apa terjadi seterusnya dengan isu itu.
Akibatnya, saya perhatikan, pihak Umno/BN pun tidak risau lagi dengan tabiat bising kita itu. Mereka biarkan saja. Dan mereka pun teruskan dengan amalan rasuah mereka, fitnah mereka, rompak hak rakyat dan sebagainya. Sebab mereka tahu yang bising-bising PR tidak akan ke mana pun. Sekadar bising saja, dengan harapan rakyat akan sedar dan bangkit dan akan bertukar.

Bukanlah kita nak menafikan kesannya yang positif. Memang ada kesan positifnya. Negeri Selangor bertukar kerajaan, negeri Kedah bertukar kerajaan, negeri Perak dan Pulau Pinang pun bertukar kerajaan, dalam PRU-12 yang lalu. Itu bukan kesan yang kecil. Itu besar kesannya. Memang. Kita tak nafikan itu. Tetapi cukupkah setakat itu sahaja?

Tentu tidak cukup. Kita mahu lebih lagi daripada itu. Dan kita mahu pertahankan apa yang telah kita dapat itu. Dalam masa yang sama juga Umno/BN pun berusaha sedaya upaya mereka untuk merampas kembali mana-mana kerusi yang telah terlepas daripada tangan mereka, di samping mempertahankan mana-mana yang masih di tangan mereka.

Maka itulah tanpa kita duga, dan tak disangka-sangka, Rahim Tamby Chik boleh timbul semula bersama dengan dua rakan baru seperjuangannya, melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan melanggar akhlak Islam secara terang-terangan, namun mendapat sokongan pula daripada pihak kerajaan dan agensi penguatkuasaan undang-undang negara. Maka riuh rendahlah pula kita.

Dan mereka pun tak pedulikan riuh rendah kita itu. Mereka juga riuh rendah, dan riuh rendah mereka disokong dengan kuasa. Kita berdemo akan ditangkap dan dibelasah dengan kayu dan ditembak dengan peluru pemedih mata dan penyesak nafas. Mereka berdemo akan disokong dengan laporan berita yang positif dalam akhbar dan televisyen.

Kita riuh rendah mengatakan mereka salah kerana memiliki dan menayang video lucah kepada awam. Mereka riuh rendah mengatakan itu Anwar Ibrahim di dalamnya dan minta ditayang lagi kepada ahli-ahli Parlimen. Kita kata tuduhan itu bohong. Polis kata video itu tulen. Dan mereka tak peduli pun undang-undang yang melarang memiliki dan menayang video lucah itu. Hah!

Apa yang sebenarnya sedang berlaku di negara kita ini? Masih berdaulatkah undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan itu?

Tidak salahlah instinct yang mendorong perasaan saya jadi marah kepada 14 mufti yang bungkem, sebagai reaksi awal terhadap peristiwa tiga Datuk T melanggar undang-undang dengan menayang video lucah kepada para pemberita dan tokoh-tokoh politik terpilih, yang saya bentangkan dalam Wacana Budaya 28 Mac lalu. 

Saya tidak nampak yang lain lagi yang dapat menyelamatkan negara ini daripada dimusnahkan oleh serangan ‘garuda’ kelucahan melampau yang dilindungi undang-undang itu. Siapa lagi yang boleh menyekat kemaraan itu kalau bukan para mufti dan raja-raja yang akan bertindak sebagai Ketua Agama di negara ini atas nasihat para mufti berkenaan!

Kini lebih seminggu telah berlalu, namun para mufti masih juga bungkem. Hanya bersuara dalam isu remeh (poco-poco? apa tu? oh pocot!) yang sama sekali tidak menyentuh soal dasar yang penting seperti isu pelanggaran undang-undang lucah yang dibenarkan itu.

Anda bayangkanlah, dalam suasana seperti sekarang ini, apabila mereka yang dilindungi oleh kuasa itu boleh tidak mempedulikan undang-undang yang melarang memiliki dan menayang video lucah itu, dan dari kalangan mereka timbul pula tuntutan supaya video itu ditayangkan kepada ahli-ahli Parlimen, para pembuat undang-undang di negara ini sendiri… anda bayangkanlah apa sebenarnya yang sedang berlaku!

Saya mulai terfikir seperti apa yang saya nyatakan di pembukaan tulisan ini di atas. Bahawa rupa-rupanya program Tranformasi Kerajaan Malaysia itu mungkin telah dirancang dan diatur dengan begitu rapi dan kemas sekali, termasuklah di dalamnya agenda kelucahan melampau ini.

Dan saya teringat kepada skrip teater saya “Apocalipso” yang telah dua kali dipersembahkan kepada pihak (parti dan kerajaan) yang berkenaan untuk dipentaskan, dan telah dua kali pula ditolak (walaupun belanjanya tak sampai empat puluh ribu). Bahawa kelucahan bukan sekadar kelucahan, tetapi mereka ada agenda yang lebih besar.

Dan mengikut skrip teater “Apocalipso” itu, di belakang daripada segala gerakan kelucahan dan maksiat dan hiburan yang melampau-lampau di negara kita ini, ia tidak berhenti sekadar di Putrajaya, tetapi ada connection kepada pihak yang lebih berkuasa di luar sana (bukan di atas sana). Oh poco-poco!

Tetapi ya, kata mereka, para mufti kita itu pun menganggap nasi mereka disuap oleh tangan dari Umno/BN juga. Sedangkan Islam mengajar kita rezeki itu datangnya daripada Allah SWT, yang Rahmat-Nya sentiasa melimpah-limpah ke atas kita. Jadi, macamana tu? Siapa yang keliru dan dikelirukan? Wallaahu a’klam!


(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)



No comments:

Post a Comment