QAZAF
oleh
Mohd Yusop bin Hasan
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
al-Anfal 25
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa. Inilah pesan yang sangat bernilai untuk menentukan martabat keinsanan manusia;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Istiqamahlah kita mengamalkan segala ajaran Allah SWT dan suruhan Rasul SAW. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan samada di dunia mahupun di akhirat nanti.
2 Mimbar hari ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan merasa amat terpanggil untuk membicarakan satu tajuk yang sangat perlu diperjelas supaya difahami oleh setiap Muslim, Mukmin yang benar-benar inginkan keselamatan, pertolongan dan keredhaan Allah SWT di dunia, apatah lagi di akhirat kelak. Perhatian ini wujud kerana terlalu banyak pihak yang telah mengeluarkan kenyataan yang sangat jelas bercanggah dengan panduan syarak. Ianya dilakukan sama ada oleh individu atau kumpulan tertentu atas nama persatuan, NGO dan berbagai lagi.
3 Kenyataan ini pula telah disiarkan secara meluas dan terbuka oleh media massa; media cetak mahupun media elektronik. Kenyataan terbuka tersebut telah menjatuhkan maruah dan martabat seseorang sedangkan ianya belum pasti benar. Malahan seseorang itu memang tidak bersalah selagi tidak diputuskan sebarang hukuman terhadap apa jua tuduhan yang sedang dihadapinya. Tetapi hari ini, perkara yang berlaku adalah sebaliknya, seseorang yang sedang mengahadpi pertuduhan telah dipersalahkan oleh media massa melalui kenyataan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab. Malahan ianya diulas sebegitu rupa dan cuba menggambarkan si tertuduh memang didapati bersalah.
4 Dalam hubungan ini marilah kita mengingati pesanan Rasul SAW amat jelas;
”Sesiapa yang menggembar-gemburkan pada orang ramai sesuatu perkara terhadap seseorang Muslim untuk menjatuhkan maruah orang tersebut di dunia pada hal ia tidak demikian, maka wajiblah Allah mencairkan pembawa fitnah tersebut pada hari qiamat dalam api neraka sehinggalah ia dapat membuktikan kebenaran apa yang telah dikatakannya.”
Hadis riwayat at-Thabarani
Jadi, mana2 pihak yang terlibat dalam mewarwarkan fitnah tersebut sudah pasti akan mendapat saham dalam bentuk dosa kerana mengaibkan seseorang dengan tujuan menjatuhkan maruahnya. Kenapa ada pihak sangat berdendam terhadap seseorang sehingga sanggup melakukan kegiatan yang boleh mengundang bala dari Allah SWT? Ayat pada muqadimah khutbah tadi dengan jelas menyatakan bahawa;
”Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa yang membawa bala’ bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang2 yang zalim di antara kamu secara khusus tetapi akan menimpa kamu secara umum. Ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksan-Nya.
al-Anfal 25
5 Namun kenapa masih ada individu yang bergama Islam sanggup mengenepikan hukum syarak semata2 ingin memenuhi nafsu dan bujukan syaitan supaya meneruskan perbuatan terkutuk itu. Qazaf seseorang yang menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tetapi gagal mengemukakan 4 orang saksi Muslim yang adil dan tidak prejudis atau memusuhi orang yang dituduh. Dalam kata lain si penuduh dikatakan melakukan qazaf kerana gagal mematuhi kehendak syarak iaitu menampilkan 4 orang saksi yang dikatakan tadi. Perbuatan ini adalah haram. Malahan orang yang melakukan qazaf telah melakukan dosa besar. Orang berkenaan menjadi fasiq dan seterusnya tidak layak menjadi saksi dalam semua perkara termasuk perkahwinan! Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 4. merujuk kepada
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Orang yang menuduh wanita Islam yang baik ”Muhsanat” berzina kemudian dia tidak menampilkan empat orang saksi maka belasahlah dia dengan lapan puluh kali sebatan dan jangan sekali-kali kalian menerima apa-apa kesaksianya lagi selepas itu. Mereka adalah golongan yang fasiq...
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
6 Qazaf ialah satu jenayah dan boleh dikenakan hukuman sebatan secara Islam sebanyak 80 kali sebatan. Pemulihannya hanyalah dengan bertaubat dan memohon ampun daripada orang yang menjadi mangsa tuduhan. Rujuk an-Nur ayat 5. Jumhur ulama telah sepakat termasuk para ulama mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, bahawa tuduhan terhadap seorang perempuan berzina, seorang lelaki berzina atau mana2 mereka melakukan liwat termasuk dalam kategori qazaf jika si penuduh tidak dapat menampilkan 4 orang saksi.
7 Qazaf diharamkan kerana Islam amat tegas dalam memelihara maruah manusia. Maruah diri, keluarga atau masyarakat amat penting kepada manusia. Maruah amat berharga kepada manusia kerana ia akan membezakan manusia dengan binatang. Maruah diri pula tidak boleh dinilai atau dibanding dengan harta benda, sekalipun dengan intan permata yanag paling mahal harganya untuk dijual beli dengan maruah diri. Sebab itu Nabi Yusuf a.s. tidak sanggup melakukan perbuatan zina walaupun telah dipujuk rayu oleh perempuan jelita yang berdarjat dan telah bersedia berhias untuk menggodanya bagi melakukan perbuatan jijik itu. Kerana bagi nabi Yusup a.s. maruah diri dan jati diri itu lebih penting dari segala-galanya. Dari segi ”Fiqhul Awlawiyat,” memang maruah diri wajib dipertahankan terlebih dahulu mengatasi harta benda dan lain-lain.
8 Oleh itu bagi setiap Muslim yang meyakini bahawa adanya pembalasan di hari akhirat, mestilah menyedari bahawa melakukan perbuatan qazaf itu akan menyebabkan mereka dihumban ke dalam neraka dan di dunia pula bakal menerima bala daripada Allah SWT. Memang sukar untuk memahamkan isu qazaf ini kepada mereka yang telah, dijajah pemikirannya, terkeliru kerana memang sudah dikelirukan sekian lama, tidak yakin dengan syariat Islam. Kerana selama ini pun mereka memang sentiasa mempertikai kesyumulan dan kesempurnaan Islam.
9 Keadaan ini ditambah pula dengan adanya perasaan; angkuh, takbur, sombong, enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam kesumat serta hasad dengki yang kuat terhadap orang yang dituduh. Ini adalah merupakan perangai iblis dan syaitan yang dilaknat oleh Allah SWT. Oleh itu marilah, kita kembali kepada hukum Allah SWT dan sunnah Rasul SAW yang memang pasti menjadi penentu atau neraca yang paling adil dalam meyelesaikan masalah manusia.
10 Kita kena memahami bahawa persoalan dosa pahala bukan sahaja yang berkaitan dengan ibadat solat, puasa, haji dan zakat tetapi juga merangkumi pengurusan hal ehwal politik, ekonomi, pendidikan, perundangan dan lain-lain. Sebab itu perbincangan mengenai hukum jenayah dalam Islam ada hubungannnya dengan aqidah, iman dan akhlak. Oleh itu jika ada para Mukminin yang masih beranggapan bahawa Islam tiada kaitan dengan isu kehidupan yang meliputi politik, ekonomi, perundangan, pendidikan, budaya dan kemasyarakatan, sesungguhnya mereka telah mengikut pandangan syaitan! Malahan aqidah mereka turut rosak kerana tidak meyakini syariat Islam sepenuhnya.
11 Lebih jauh lagi jika kita melaksanakan sesuatu amalan ibadah Islam tanpa memenuhi rukun dan syaratnya, maka amalan itu adalah tidak sah dan tidak akan diterima oleh Allah SWT. Sebab itu menjadi tanggung jawab semua pihak yang berilmu, berwibawa dan berakhlak mulia supaya tampil menyatakan ajaran Islam yang sebenarnya tanpa rasa takut dan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Kita memerlukan generasi Islam yang benar2 ingin melihat keadilan terlaksana kepada semua; termasuk makhluk Allah yang lain sesuai dengan prinsip rahmatan lil’alamin yang dibawa oleh Islam. Sampaikanlah ajaran Islam seadanya dengan penuh hikmah walaupun terhadap pemerintah yang sangat berkuasa dan boleh berbuat apa sahaja! Namun jangan dilupa bahawa Allah SWT lebih berkuasa dan maha kuasa, Allahuakbar.
12 Untuk menyantuni perkara tersebut maka tindakan qazaf hendaklah dikenakan kepada mereka yang menuduh seseorang melakuakan zina atau liwat tanpa menampilkan 4 orang saksi Muslim yang adil. Kalau kita benar-benar ikhlas untuk melaksanakan sayriat Islam di negara yang tercinta ini maka kita tidak perlu berdolak dalik lagi. Letakkan undang-undang Islam mengatasi undang-undang sivil, insyaAllah, kita akan mendapat pemeliharaan serta pengawasan dari Allah SWT.
لَوْلا جَاؤُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاء فَأُولَئِكَ عِندَ اللَّهِ هُمُ الْكَاذِبُونَ
”Sepatutnya mereka yang menuduh membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Seandainya mereka tidak dapat menampilkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah manusia pendusta dan pembohong.”
An-Nur 13
No comments:
Post a Comment