SAF ANTI FITNAH (SAF)
8/4 Right Angle , Jalan 14/22 , Seksyen 14 , Petaling Jaya , Selangor
Tel 012 4753516/012 6412305/0126577878
Kenyataan Media
29hb April 2011
SAF MENOLAK SUMPAH LAKNAT MENJADI BAHAN MAINAN
SAF (Saf Anti Fitnah) kesal sumpah laknat kini sudah menjadi bahan mainan untuk memperkukuhkan fitnah seperti yang dilakukan oleh Sazryl Eskay Abdullah petang 29hb April 2011 di Masjid Amru Al Asr, Bandar Baru Sentul , Kuala Lumpur.
Nampaknya Eskay termasuk dua lagi anggota Kumpulan Datuk T tidak mengendahkan langsung larangan para ulama bahawa sumpah Mubahalah seperti yang mereka lakukan adalah tertolak dalam Islam.
Dengan yang demikian jelas mereka cuba berlagak tahu dan menunjukkan seolah-olah mereka yang lebih jujur dari para ulama sendiri.
SAF melihat perlakuan mereka adalah tindakan menghina dan mempermain-mainkan hukum Islam yang sepatutnya diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.
Secara jelas nampaknya pihak berkuasa bertindak membiarkan perlakuan mereka tanpa memberi sebarang ingatan bahawa ia boleh membawa fitnah lebih besar bila orang bukan Islam akan memandang rendah kepada hukum Islam berkenaan dengan hukum jenayah Qazaf.
SAF kesal sementara pihak berkuasa agama tahu bahawa dengan melakukan sumpah laknat dalam kontroversi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat jelas lagi nyata, Eskay, Shuib serta Abdul Rahim Tambi Chik, akan meletakkan hukum agama sebagai bahan murahan, namun tindakan mereka masih tidak ditegur dan dilarang oleh Jabatan Agama mahupun Menteri Hal Ehwal Islam JPM.
Padahal sudah jelas beberapa mufti telahpun mengeluarkan pendapat mereka bahawa sumpah laknat untuk tuduhan zina melalui video itu tidak termasuk alasan untuk melakukan sumpah laknat oleh pihak yang menuduh.
SAF dengan ini sangat kesal terhadap perkembangan isu video seks yang nampaknaya semakin menjadi bahan murahan untuk terus ditayang oleh media massa dan menjadi berita utama politik tanah air.
SAF bertegas dengan pendirian menolak sekeras-kerasnya usaha menggunakan isu menuduh zina dan liwat terus diulang-ulang di Negara ini yang kini menyebabkan Malaysia menjadi Negara yang dipandang rendah oleh dunia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjadi sasaran serangan tuduhan zina dan liwat secara paling menjijikkan dan mengaibkan.
Apakah hanya kerana perbezaan pendirian politik, Negara ini mahu dibiarkan dicatur dengan budaya politik yang mengguna senjata seks sebagai alat menjatuhkan seorang lawan?
Lebih parah lagi usaha itu semakin dirancakkan bersama sokongan dan komplot media massa. Jelas, kini musuh politik Datuk Seri Anwar benar-benar meletakkan agenda menjatuhkan karier politiknya sebagai agenda utama sebelum pilihanraya umum ke 13 akan datang.
SAF menentang keras pihak yang nekad untuk menjatuh dan mengaibkan beliau termasuk menggunakan sumpah laknat di luar syarat yang ditentukan oleh Islam. Kesannya ialah mempermainkan-mainkan suatu sisi dari undang-undang Allah S.W.T .
SAF kesal kerana tidak ada reaksi dari pihak Jabatan Agama Islam supaya menjelaskan kedudukan hukum Islam mengenai sumpah Mubahalah yang dengan mudah diperalat dan dipolitikkan. Akibatnya kekeliruan dan prasangka masyarakat kini menjadi gejala yang memburukkan lagi keadaan.
SAF dengan ini menuntut supaya pihak berkuasa agama semada Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri menyatakan sikap dan keputusan yang jelas supaya kekeliruan yang semakin berleluasa terhadap isu ini dapat dihentikan.
Pihak berkuasa agama juga perlu menegur dan mengingatkan semua pihak media massa supaya menghentikan amalan memperhangat lagi fitnah seks sebagai berita yang bertujuan untuk menambahkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat.
Tindakan sumpah laknat yang telah dilakukan bermula dari Saiful, kemudian Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan kini Eskay dan rakan-rakan mereka, telah mengakibatkan orang bukan Islam memandang serong terhadap undang-undang Allah S.W.T.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi SAF
No comments:
Post a Comment