Monday 18 April 2011

Deklarasi Ulama Perangi Politik Fitnah


DEKLARASI ULAMA DAN UMAT
PERANGI POLITIK FITNAH, LAKSANAKAN HUKUM QAZAF  TERHADAP PENFITNAH ZINA


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
Perhimpunan Saf Anti Fitnah (SAF) pada hari ini , 13 Jamadil Awwal 1432 H / 17hb April 2011 bertempat di Masjid Bukit Indah , Ampang , Selangor

PRIHATIN terhadap wujudnya budaya dan amalan fitnah-memfitnah yang kini menjadi lumrah dalam kehidupan umat Islam terutamanya dalam persaingan politik tanah air,

SANGAT PEKA bahawa, terdapat pihak-pihak yang terlalu ghairah untuk menjatuhkan lawan dengan mengguna senjata fitnah lucah dan fitnah zina dengan tujuan  mengaibkan seseorang melalui  konspirasi menanamkan pra-sangka buruk masyarakat ke atas seorang musuh politik, 

MENEGASKAN budaya fitnah hendaklah diperangi oleh semua pihak,

MENYEDARI bahawa fitnah zina adalah suatu jenayah berat di sisi Allah S.W.T dan ia membawa implikasi yang sangat buruk ke atas maruah dan kesatuan ummah,

MENGINSAFI bahawa fitnah zina membawa kepada kesan yang sangat parah kepada maruah ummah dan bertentangan dengan segala prinsip Maqasid Syar’iyyah,

MENGAMBIL PERHATIAN bahawa budaya fitnah zina yang diamalkan mesti diperangi,

MEMAHAMI bahawa hukum Qazaf adalah hukum syariat Islam yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T dan ia wajib dilaksanakan oleh pihak penguasa berdasarkan  Surah An Nur : 4  (maksudNya):

”Orang yang menuduh wanita Muhsanat berzina kemudian tidak menampilkan empat orang saksi yang sah maka deralah mereka dengan lapan puluh kali sebatan . Janganlah terima lagi kesaksian mereka untuk selama-lamanya dan golongan itu adalah golongan orang –orang fasiq”

MENGAMBIL PERHATIAN terhadap Firman Allah S.W.T yang berkaitan dengan fitnah seperti beirkut:
لَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَ الْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَ إِثْمًا مُبِينًا )الأحزاب 58 ( .

Orang-orang yang menyakiti mu’min lelaki dan mu’minah wanita mengenai perkara-perkara yang mereka tidak melakukannya maka mereka telah melakukan pembohongan dan dosa yang jelas nyata (Surah Al Ahzab : 58)
و قال جلّ و علا : ( إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلاتِ الْمُؤْمِنَاتِ لُعِنُوا فِي الدُّنْيَا وَ الآخِرَةِ وَ لَهُمْ
عَذَابٌ عَظِيمٌ ) [ النور : 23

Orang-orang yang membuat pertuduhan palsu terhadap wanita mu’minah , Muhsanah yang alpa mereka dilaknat di dunia dan di akhirat . Untuk mereka disediakan azab yang sangat besar.(An Nur 23)

Maka kami 

MENEGASKAN BAHAWA fitnah zina adalah perbuatan yang sangat berat dalam hukum syariat Islam, oleh itu mengingatkan semua lapisan umat Islam semada penguasa atau rakyat hendaklah memeranginya dan hukum Qazaf hendaklah dijadikan perundangan yang dikuatkuasakan ke atas  mereka yang terlibat dengan jenayah fitnah zina.

MENGINSAFKAN BAHAWA Allah S.W.T akan menurunkan bala dan musibah kepada seluruh umat manusia jika kemungkaran fitnah dibenarkan berleluasa,

MENGINGATKAN BAHAWA umat Islam di semua peringkat hendaklah mengambil sikap yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebar dan bermakar (yakni berkomplot)  dalam konspirasi fitnah untuk menjatuhkan dan memburukkan peribadi seseorang.

MENASIHATI BAHAWA umat Islam mesti mengamalkan perintah Allah S.W.T dalam menanggapi berita yang dinukilkan oleh golongan fasiq iaitu rang Islam sentiasa bertabayyun yakni meneliti dan mencermati akan kebenaran sesuatu berita yang disebar oleh orang-orang fasiq semada dalam bentuk media massa mahu pun kenyataan-kenyataan mahu pun apa pun bahan yang disebarkan.

BERPENDIRIAN TEGAS BAHAWA umat Islam mesti menolak dengan tegas mereka yang terlibat dengan fitnah semada dalam kalangan  pemimpin yang fasiq mahu pun dalam kalangan ahli yang mengguna alat dan saluran media untuk:

  • mencetuskan fitnah,
  • menyebar fitnah,
  • menyiarkan fitnah,
  • bersekongkol menyemarakkan fitnah,
  • mengguna kalam mereka untuk berfitnah,
  • mengguna alat media mereka untuk membesar-besarkan fitnah,
  • mengaibkan hambaMu dengan fitnah
  • merosakkan persaudaraan sesama Muslim dengan fitnah
  • mengguna kuasa yang diamanahkan oleh rakyat untuk mereka-reka fitnah

MEMBERI PERINGATAN BAHAWA media massa terutama media massa perdana hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dengan budaya fitnah untuk menjatuhkan dan mengaibkan  seseorang semada melalui pemberitaan mahu pun wawancara untuk memburuk-buruk seseorang.  Pihak media semestinya tidak menjadi tali barut dalam usaha untuk menonjolkan lagi fitnah dan kekeliruan serta kecurigaan sesama masyarakat dan umat Islam. Pihak media dalam kalangan ahli Lembaga, Kumpulan Pengarang, Ketua Pengarang, Penerbit, Wartawan dan Jurutfoto  hendaklah mengamalkan prinsip kewartawanan dan jurnalisme yang profesional dan beretika.

MENGINGAT DAN MENASIHATI BAHAWA semua pihak yang terlibat dengan budaya fitnah terutamanya fitnah lucah dan fitnah zina supaya bertaubat dan kembali  kepada jalan hidup Islam serta berwaspada dan sangat takut kepada Azab dan Kemurkaan Allah S.W.T yang bakal diterima jika meneruskan kemungkaran Fitnah.

MENYERU DAN MENGGESA semua lapisan umat Islam amnya dan khususnya kepada ahli politik dan golongan ilmuan dan para ulama segera bergabung tenaga untuk memerangi budaya fitnah sehingga ke akar umbinya.

KAMI DENGAN INI MENGUMUMKAN BAHAWA KAMI AKAN BERGERAK BERSAMA-BERSAMA DENGAN SEMUA PIHAK UNTUK MEMERANGI FITNAH DALAM KALANGAN UMAT ISLAM KHUSUSNYA DAN WARGA MASYARAKAT MALAYSIA DI NEGARA INI AMNYA


No comments:

Post a Comment